Gas Malaysia, FGV tingkat komitmen Inisiatif Gas Hijau - Utusan Malaysia

Gas Malaysia, FGV tingkat komitmen Inisiatif Gas Hijau

AHMAD Hashimi Abdul Manap
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dengan FGV Palm Industries Sdn. Bhd. (FGVPI), anak syarikat FGV Holdings Berhad (FGV) dalam mendapatkan biogas bersih untuk dinaiktaraf menjadi biomethane.

Di bawah kerjasama baru-baru ini, anak syarikat sepenuhnya dimiliki oleh Gas Malaysia, Gas Malaysia Green Ventures Sdn. Bhd. (GMGV) akan mendapatkan biogas bersih daripada 37 kilang FGVPI.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata, gas asli kekal relevan sebagai bahan api fosil paling bersih berbanding dengan alternatif lain, pelengkap kepada sumber gas boleh diperbaharui.

“Gas Malaysia tetap teguh dalam komitmen memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat, sambil melaksanakan komitmen kelestarian kami, ” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, inisiatif itu selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang bertujuan meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui negara kepada 40 peratus menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050.

“Gas Malaysia menggunakan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri yang meluas untuk mengukuhkan kehadirannya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata, FGV secara konsisten melancarkan pelbagai inisiatif lestari dan terbaharu selain menyambut semua kerjasama yang lebih menyokong agenda kelestarian kebangsaan.

“Di bawah inisiatif ‘Waste-to-Wealth’ kami, FGV menggunakan biomas termasuk gas, bentuk pepejal dan cecair yang diperoleh dari kilang minyak kelapa sawit kami untuk menghasilkan bahan api biogas yang digunakan oleh grid elektrik negara serta sambungan grid pedalaman, ” katanya.

Katanya, tiga bandar pedalaman di Sabah, iaitu FELDA Sahabat, FELDA Cenderawasih, dan FELDA Umas telah dikuasakan oleh tenaga elektrik yang lestari hasil daripada sumber tenaga boleh diperbaharui biomas yang diuruskan oleh FGVPI.

Tambahnya, FGV telah membuat kemajuan penting dalam mengurangkan pelepasan karbon dengan mengurangkan lebih dari 100,000 tan metrik karbon dioksida setara melalui inisiatif boleh diperbaharui.

“Ini termasuk memusnahkan metana menggunakan kilang Biogas dan Bio-CNG FG, serta penggantian bahan api fosil (diesel),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN