Terengganu terus penguatkuasaan ladang FGV jika tiada kata sepakat

Terengganu terus penguatkuasaan ladang FGV jika tiada kata sepakat

NOTIS 425 Kanun Tanah Negara mengenai pencerobohan tanah milik kerajaan negeri yang diletakkan di salah satu ladang FGV.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu meneruskan penguatkuasaan Notis 425 Kanun Tanah Negara (KTN) selagi tidak mendapat keputusan tuntas dan tiada kata sepakat dicapai dalam menunaikan tuntutannya.

Antara tuntutan melibatkan syarat pembayaran premium tanah, komitmen pentadbiran dan perkongsian keuntungan sebanyak 30 peratus daripada hasil ladang yang diusahakan di atas tanah milik negeri.

Notis Seksyen 425 KTN dikeluarkan sebelum ini ke atas entiti yang didakwa menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran, terutama melibatkan ladang komersial FGV.

Notis untuk mengalihkan aset dan mengosongkan premis di ladang-ladang FGV Holdings Bhd.(FGV) seluas kira-kira 15,000 hektar itu diserahkan pada 30 November lalu dan sepatutnya berakhir semalam, namun dilanjutkan sehingga Ahad ini sebelum proses sitaan bermula.

Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah Felda Terengganu, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, jawatan kuasa itu bermesyuarat bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Putrajaya, semalam berhubung isu berkenaan.

“Kita menghargai ruang perbincangan yang mula dibuka. Dari dulu lagi kita memohon untuk duduk di meja rundingan bersama pihak yang boleh membuat keputusan tetapi tak dilayan.

“Proses tindakan penguatkuasaan Notis 425 KTN tetap diteruskan selagi tak dapat keputusan tuntas dan tiada kata sepakat dicapai dalam menunaikan tuntutan negeri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, menurut Azman, sehingga pukul 12 tengah hari semalam, pihaknya belum mendapat sebarang berita berhubung hasil mesyuarat Jemaah Menteri yang mahu membincangkan isu ladang FGV berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilapor akan membentangkan resolusi berhubung isu 10 ladang FGV yang dikenakan notis larangan menceroboh oleh Kerajaan Terengganu pada mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Beliau berkata, Lembaga Pengarah Felda dan FGV mengadakan mesyuarat kelmarin bagi mencari saranan, cadangan serta penyelesaian berhubung perkara berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN