SETIU: Seorang petani segera menuai jagungnya bagi mengelak kerugian akibat banjir.
Mazlan Yusoff, 46, berkata, tanaman jagung mutiara dan jagung madu itu diusahakan di kawasan seluas dua ekar di Kampung Nyatoh disini sejak September lalu kini tiba waktu tuaiannya.
Menurutnya, dia menyasarkan semua hasil jagung dapat dituai sebelum Disember ini berikutan kawasan pertanian berkenaan sering dilanda banjir ketika musim tengkujuh.
“Pengalaman itu mengajar saya supaya lebih bijak menyusun jadual tanaman dan tidak mengambil risiko membiarkan hasil terlalu lama di kawasan yang mudah dinaiki air.
“Jagung menjadi pilihan kerana tempoh matang lebih singkat dan modal lebih rendah berbanding tanaman lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan kejadian tahun lalu berulang apabila tanaman tembikai yang diusahakan tahun lalu musnah ditenggelami banjir dan kerugian puluhan ribu ringgit.
Mazlan berkata, dia mengusahakan tanaman secara bergilir sepanjang tahun bagi memastikan tanah tidak terbiar, bermula dengan tembikai pada Februari, diikuti labu pada penghujung April sebelum beralih kepada jagung sekitar September atau Oktober lalu.
Jelasnya, usaha itu dilakukan secara sambilan sebagai sumber pendapatan tambahan dalam bidang pertanian.
Mazlan berkata, tanaman jagung berkenaan mampu menghasilkan kira-kira 300 tongkol sehari dengan harga jualan RM10 bagi setiap 10 tongkol.
“Permintaan masih menggalakkan dan saya menjual sendiri hasil tanaman kepada pelanggan sekitar Terengganu.
“Anggaran modal untuk tanaman kali ini kira-kira RM20,000 dan setakat ini hasil yang diperoleh agak memberangsangkan,” ujarnya. – UTUSAN











