JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto menyifatkan perairan Indonesia mempunyai kepentingan strategik setanding Selat Hormuz, memandangkan hampir 70 peratus perdagangan dunia melalui laluan maritim negara itu.
Beliau berkata, kedudukan geografi Indonesia yang strategik menjadikan perairannya antara laluan penting dalam perdagangan global.
“Indonesia mempunyai kedudukan yang sangat strategik. Boleh dikatakan hampir 70 peratus perdagangan dunia melalui perairan kita,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Tahunan Bank Indonesia 2026 (PTBI) di Jakarta, semalam.
Mengulas kepentingan laluan berkenaan, Prabowo membandingkannya dengan Selat Hormuz yang menjadi laluan utama penghantaran tenaga global.
Beliau turut membangkitkan kemungkinan kesan terhadap ekonomi dunia sekiranya laluan perkapalan di perairan Indonesia mengalami gangguan.
“Jika Selat Hormuz boleh menjejaskan ekonomi global, bagaimana pula jika gangguan berlaku di selat-selat perairan Indonesia?” katanya.
Menurut Prabowo, kedudukan strategik Indonesia menyebabkan negara itu berdepan pelbagai gangguan dan cabaran sejak ratusan tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata, pengalaman berkenaan menjadikan Indonesia lebih peka terhadap risiko serta sentiasa meningkatkan kewaspadaan dalam menghadapi sebarang ancaman.
“Kita dibentuk oleh pelbagai cabaran. Kini, kita semakin peka, lebih sedar dan sentiasa berwaspada,” katanya.
Prabowo turut melahirkan rasa syukur kerana Indonesia berjaya mengatasi pelbagai cabaran setakat ini, sambil menegaskan sebuah negara yang kuat perlu berani menghadapi kesukaran.
“Kita tidak boleh takut kepada cabaran. Kita tidak boleh takut kepada gangguan dan kita perlu bersikap jujur terhadap diri sendiri,” katanya.- ANTARA











