KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah Brent dijangka menyusut kepada AS$79 (RM325.29) setong pada 2027, berbanding unjuran AS$91 (RM374.71) setong pada tahun ini, susulan pemulihan bekalan global dengan syarat penghantaran minyak mentah dari rantau Teluk kekal lancar.
Ahli Ekonomi Bank Dunia, Deisigan Shammugam berkata, berdasarkan unjuran dalam laporan Commodity Markets Outlook yang diterbitkan pada Oktober 2026 itu mengambil kira penyusutan bekalan minyak global sebanyak 5.2 peratus pada tahun ini.
Katanya, ia lebih ketara berbanding penurunan penggunaan sebanyak 2.5 peratus, susulan kekangan penghantaran minyak melalui Selat Hormuz.
“Penyusutan bekalan itu berpunca daripada sekatan transit melalui Selat Hormuz yang menjejaskan penghantaran minyak mentah, khususnya dari rantau Teluk.
“Keadaan itu turut melibatkan pengurangan pengeluaran, manakala peningkatan pengeluaran di kawasan lain hanya mampu mengimbangi sebahagian kecil kehilangan bekalan dari Asia Barat.
“Pada masa sama, penggunaan minyak global dijangka menyusut 2.5 peratus, sekali gus mencatatkan penurunan ketiga terbesar dalam rekod penggunaan tenaga berikutan kenaikan harga dan kekurangan bekalan.
“Bagaimanapun, harga minyak dijangka kembali sederhana pada 2027 apabila bekalan global beransur pulih dengan syarat penghantaran minyak mentah dari rantau Teluk kekal stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Pertama bertajuk Tinjauan Ekonomi Dunia, Serantau dan Malaysia sempena Persidangan Tinjauan Ekonomi Kebangsaan (NEOC) di sini, semalam.
Bagaimanapun, beliau mengakui unjuran harga minyak sukar dipastikan berikutan ketidaktentuan pasaran global.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata, pergerakan harga minyak mentah dunia, sama ada meningkat atau menurun, bergantung kepada perkembangan geopolitik, khususnya tempoh dan tahap ketegangan yang berlaku.
“Sekiranya ketegangan geopolitik berlarutan, harga minyak berkemungkinan meningkat, manakala penyelesaian dalam tempoh singkat boleh mendorong harga kembali menurun.
“Perubahan harga minyak turut memberi kesan kepada perbelanjaan subsidi kerajaan dengan peningkatan harga memerlukan kerajaan menanggung subsidi lebih tinggi, manakala penurunan harga boleh mengurangkan beban berkenaan.
“Jika harga naik, kerajaan akan memberikan subsidi. Jika harga turun, harga juga akan berkurangan. Pada masa ini, semuanya bergantung kepada mekanisme pasaran,” katanya. – UTUSAN











