Untung bersih Aquawalk susut 30.2 peratus pada suku ketiga - Utusan Malaysia

Untung bersih Aquawalk susut 30.2 peratus pada suku ketiga

ORANG ramai tertarik melihat hidupan akuatik di Aquaria KLCC, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keuntungan bersih Aquawalk Group Bhd. merosot 30.2 peratus kepada RM8.1 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 berbanding RM11.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu, susulan perbelanjaan operasi lebih tinggi dan sumbangan keuntungan syarikat bersekutu yang lebih rendah.

Prestasi itu turut dipengaruhi peningkatan kadar cukai efektif serta jumlah pengunjung yang lebih rendah berikutan ketidaktentuan geopolitik dan peningkatan kos perjalanan.

Bagaimanapun, hasil kumpulan hanya menyusut 2.9 peratus kepada RM28.7 juta berbanding RM29.6 juta pada suku sama tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penyusutan hasil itu sebahagiannya diimbangi peningkatan hasil purata tiket kepada RM56.30 berbanding RM52.50 sebelumnya.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Aquawalk, Datuk Simon Foong, berkata kumpulan itu terus mencatatkan keuntungan pada suku berkenaan meskipun berdepan persekitaran pelancongan lebih mencabar berbanding tahun lalu.

“Aquawalk akan terus memperkukuh daya tarikan pusat akuarium kendaliannya bagi mengekalkan minat pengunjung dalam keadaan ketidaktentuan permintaan perjalanan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan berasingan, prestasi kumpulan menunjukkan pemulihan berdasarkan perbandingan suku ke suku apabila keuntungan bersih meningkat 44.7 peratus daripada RM5.6 juta pada suku kedua 2026

Hasil kumpulan turut meningkat 20.2 peratus kepada RM28.7 juta berbanding RM23.9 juta pada suku sebelumnya.

Peningkatan itu disokong pertambahan jumlah pengunjung di Aquaria KLCC dan Aquaria Phuket sebanyak 22.7 peratus kepada 406,880 orang berbanding 331,593 orang pada suku kedua.

Daripada jumlah itu, Aquaria KLCC menerima 349,081 pengunjung, manakala Aquaria Phuket merekodkan 57,799 pengunjung.

Peningkatan jumlah pengunjung itu selari dengan trend bermusim yang lazimnya menyaksikan jumlah kehadiran lebih tinggi pada suku ketiga, selain disokong sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, kumpulan merekodkan hasil RM77.9 juta berbanding RM81.5 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala keuntungan bersih susut kepada RM19.7 juta daripada RM32.5 juta.

Prestasi keuntungan bagi tempoh berkenaan turut dipengaruhi ketiadaan keuntungan sekali sahaja berjumlah RM5.1 juta daripada pengubahsuaian pajakan dan RM1.8 juta daripada pembalikan kerugian kemerosotan nilai yang direkodkan tahun lalu.

Dalam usaha meningkatkan pengalaman pengunjung, Aquaria KLCC melancarkan Discovery Zone 6 pada 13 September lalu, yang menampilkan teknologi pemetaan unjuran, realiti terimbuh dan elemen pendidikan interaktif di kawasan seluas kira-kira 2,500 kaki persegi.

Di Thailand, Aquaria Phuket memperkenalkan Maya Recall Museum pada 8 September lalu, iaitu tarikan seni imersif seluas kira-kira 9,267 kaki persegi dengan tujuh zon penerokaan.

Sementara itu, pembangunan tangki penguin baharu di Aquaria KLCC kini disasarkan siap pada suku keempat 2027 bagi memenuhi keperluan kawal selia, pelesenan dan operasi.

Projek Aquaria Jawa Timur Park di Indonesia pula dijangka siap pada pertengahan 2028.

Setakat 30 September 2026, Aquawalk mempunyai tunai dan setara tunai RM173.7 juta tanpa pinjaman bank, selain menjana aliran tunai operasi bersih RM26.3 juta bagi tempoh sembilan bulan 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini