Pengunjung wanita, lelaki di La Hot Spring diasingkan - Utusan Malaysia

Pengunjung wanita, lelaki di La Hot Spring diasingkan

RAZALI IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan melaksanakan pengasingan pengunjung wanita dan lelaki di kolam air panas semulajadi La Hot Spring di Hulu Besut selewat-lewatnya pada awal tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, ketika ini, kolam air panas itu menerima limpahan pengunjung setiap hari kerana khasiatnya yang terbukti untuk kesihatan manusia.

Menurutnya, walaupun pengunjung wanita yang datang ke lokasi itu menutup aurat, namun situasi itu tidak ‘manis’ kerana percampuran lelaki dan wanita di kawasan kolam air panas yang agak sempit.

“Kerajaan negeri sedang pertimbangkan secara serius untuk menyalurkan sedikit peruntukan agar pengasingan kolam lelaki dan wanita di La Hot Spring ini dapat dilakukan segera.

“Sudah tentulah, kita ambil kira kemudahan infrastruktur dan prasarana sedia ada demi mewujudkan suasana yang lebih selesa untuk pengunjung ke kolam air panas semulajadi tersebut.

“Kerajaan negeri melalui Majlis Daerah Besut akan mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha dan penduduk setempat untuk mendapatkan cadangan terbaik untuk melaksanakan usaha tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Husaimi Hussin (Bersatu-Hulu Besut) yang ingin tahu usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan lokasi tersebut sebagai destinasi pelancongan terkenal di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini, hari ini.

Kolam Air Panas yang berada di Kampung La atau lebih dikenali sebagai La Hot Spring itu terletak kira-kira 125 kilometer (km) dari Kuala Terengganu.

Ia adalah antara destinasi wajib singgah dan merupakan merupakan kawasan riadah yang digemari penduduk tempatan terutama di Pantai Timur.

Tambahnya, di peringkat awal, Majlis Daerah Besut telah menyediakan 20 unit bilik namun melihat kepada jumlah pengunjung yang tinggi terutama pada hujung minggu dan cuti am, keseluruhan bilik di La Hot Spring telah ditambah sehingga 38 unit termasuk lapan kabin kontena.

“Kadar sewa yang dikenakan pula ialah antara RM50 hingga RM150 untuk setiap unit semalaman.

“Ia adalah munasabah dan berpatutan bagi sebuah kawasan dan tempat pelancongan jika dibandingkan dengan Hot Spring di lokasi lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN