JAKARTA: Agensi Siasatan Jenayah Polis Negara Indonesia menamakan 245 individu dan 20 syarikat sebagai suspek dalam kes berkaitan kebakaran hutan serta tanah di beberapa wilayah di Indonesia.
Ketua Polis Negara, Jeneral Asep Safrudin berkata, daripada 20 syarikat yang dikenal pasti sebagai suspek, empat daripadanya merupakan syarikat pelaburan asing.
“Daripada 20 syarikat yang ditetapkan sebagai suspek, empat merupakan syarikat pelaburan asing, manakala baki 16 lagi adalah syarikat tempatan,” katanya pada sidang media Khamis .
Asep berkata, sebanyak 287 laporan polis dibuat berhubung kes kebakaran hutan dan tanah, membabitkan kawasan seluas 5,859.12 hektar yang terbakar.
Namun, beliau tidak mendedahkan nama keempat-empat syarikat itu.
Polis Kalimantan Barat merekodkan jumlah laporan tertinggi iaitu 68 kes, diikuti Polis Riau (59 kes), manakala Polis Kalimantan Tengah menerima 43 laporan.
“Pengendalian kes yang membabitkan syarikat pula meliputi 104 laporan polis, dengan jumlah kawasan terbakar seluas 29,168.78 hektar,” katanya.
Menurut Asep, tindakan diambil tanpa memilih kasih terhadap mana-mana pihak yang terbukti bertanggungjawab menyebabkan kebakaran hutan dan tanah.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap kebakaran hutan dan tanah, sama ada berpunca daripada perbuatan sengaja atau kecuaian sehingga mengakibatkan kerosakan alam sekitar serta kerugian kepada masyarakat.
“Penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan berdasarkan bukti menerusi kaedah Siasatan Jenayah Saintifik selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Syarikat-syarikat terbabit didakwa mengikut Perkara 98 perenggan (1), (2) dan (3), Perkara 99 perenggan (1), (2) serta (3), selain Perkara 108 Undang-Undang Nombor 32 Tahun 2009 berkaitan Perlindungan termasuk Pengurusan Alam Sekitar.
Peruntukan berkenaan melibatkan kesalahan yang dilakukan secara sengaja atau akibat kecuaian sehingga menyebabkan kemerosotan kualiti alam sekitar dan pembakaran tanah.
Kebakaran hutan memusnahkan lebih 1.9 juta hektar kawasan dalam tempoh sembilan bulan hingga September, menurut pemantau pembalakan hutan, Nusantara Atlas, angka yang belum disahkan atau dinafikan oleh kerajaan.
Lebih 72,000 anggota telah digerakkan bagi operasi memadam kebakaran, selain lebih 2,100 doktor dan petugas kesihatan, manakala 5.3 juta pelitup muka turut diagihkan.
Jerebu akibat kebakaran itu turut merumitkan hubungan Indonesia dengan negara-negara jirannya. – AGENSI











