BAITULMUQADDIS: Blok Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mendahului pakatan pembangkang tetapi masih jauh daripada memperoleh majoriti kerusi Parlimen, menurut keputusan rasmi akhir pilihan raya umum Israel yang diumumkan awal pagi Jumaat.
Gabungan Netanyahu yang terdiri daripada parti-parti sayap kanan dan kanan ekstrem memenangi 53 daripada 120 kerusi Parlimen.
Bagaimanapun, parti Likud pimpinannya kekal sebagai parti tunggal terbesar menerusi 27 kerusi.
Blok pembangkang yang diketuai tokoh berhaluan tengah, Gadi Eisenkot memperoleh 48 kerusi.
Keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat itu turut mengesahkan kejayaan besar parti-parti Arab, Raam dan Senarai Arab Bersatu, yang secara keseluruhan memenangi 19 kerusi selain berpotensi menjadi penentu dalam rundingan pembentukan kerajaan campuran.
Kedua-dua parti itu menjadi sasaran dakwaan penipuan pilihan raya yang belum dibuktikan, yang disebarkan kem Netanyahu pada Khamis.
Ahli politik dan laporan media mendakwa kedua-dua parti berkenaan disyaki menerima dana Qatar untuk membiayai kegiatan membeli undi.
Parti-parti Arab dan Qatar menafikan dakwaan itu, manakala Eisenkot menuduh Netanyahu cuba menafikan kesahihan keputusan pilihan raya berkenaan.
Agensi keselamatan dalam negeri Israel, Shin Bet berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan berlaku penyelewengan tetapi menegaskan siasatan itu tidak bertujuan menimbulkan keraguan atau meletakkan kesalahan terhadap seluruh kelompok yang keluar mengundi secara demokratik dan mengikut undang-undang.
Tanpa merujuk secara langsung kepada dakwaan terhadap parti-parti Arab itu, suruhanjaya pilihan raya pada Khamis berkata, beberapa maklumat yang tersebar sama sekali tidak berasas.
Siasatan itu diteruskan serentak dengan proses yang dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat. Ia tidak akan menjejaskan keputusan akhir yang akan diserahkan kepada Presiden Israel, Isaac Herzog menurut suruhanjaya berkenaan.
Keputusan rasmi itu akan diserahkan kepada Presiden Isaac Herzog pada Rabu sebelum beliau memulakan rundingan dengan pemimpin parti-parti politik, seterusnya memberikan mandat kepada salah seorang daripada mereka untuk berusaha membentuk kerajaan, menurut suruhanjaya itu.
Ketiadaan blok yang memperoleh majoriti menunjukkan rundingan pembentukan kerajaan campuran berkemungkinan berdepan kesukaran dan boleh berlarutan selama beberapa minggu.
Jika tiada kerajaan dapat dibentuk, Israel mungkin terpaksa mengadakan satu lagi pilihan raya, seperti yang berlaku beberapa kali sebelum ini. – AFP











