KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini menunggu ‘lampu hijau’ Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung status kelayakan pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Shane Lowry untuk mewakili Harimau Malaya.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya sudah melengkapkan segala dokumen berkaitan pemain berkenaan dan ia telah dikemukakan kepada FIFA untuk proses semakan serta kelulusan.
“Dokumen Sean Lowry sudah lengkap dan kita telah hantar kepada FIFA. Sekarang kita tunggu proses kelulusan FIFA dalam masa terdekat ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan YTL Group & FAM, semalam.
Perkembangan terbaharu itu menyaksikan FAM kini menunggu keputusan rasmi FIFA selepas dokumen berkaitan pemain berusia 37 tahun itu selesai disediakan dan dihantar untuk proses kelulusan.
Lowry sebelum ini dilaporkan masih belum menerima kelulusan FIFA untuk mewakili Harimau Malaya, manakala status Manuel Hidalgo turut melalui proses semakan sebelum pemain itu mendapat pengesahan kelayakan pada September lalu.
Pemain pertahanan kelahiran Australia itu menyertai JDT pada 2021 dan telah melengkapkan tempoh lima tahun menetap di Malaysia, sekali gus membuka laluan kepada proses naturalisasi untuk mendapatkan status pemain tempatan.
Sekiranya mendapat kelulusan dalam masa terdekat, Lowry dijangka tidak berdepan masalah untuk mewakili Harimau Malaya dalam dua aksi persahabatan antarabangsa menentang China dan Yaman pada bulan depan.
Sebelum ini, Malaysia turut menyaksikan beberapa pemain memperoleh status naturalisasi, antaranya Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Lee Tuck, Sergio Aguero, Paulo Josue, Endrick dos Santos dan Romel Morales. – UTUSAN











