Indah sederhana dalam artistik Edward Weston

Indah sederhana dalam artistik Edward Weston

The Silent Elegance of Mushrooms Karya ini memperlihat bentuk organik, tekstur yang rumit dan pencahayaan dramatik sejajar dengan pendekatan Weston untuk mendedahkan keindahan dalam subjek harian. Gambar MUHAMMAD HAFIZ IZZUDDIN ABDUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia yang bergerak pantas, seni fotografi hadir sebagai ruang refleksi yang mengajak manusia memperlahankan langkah dan menghayati keindahan sederhana yang tersembunyi di sekeliling mereka.

Dalam landskap fotografi moden yang sarat dengan warna dan kesan digital, nama Edward Weston kekal sebagai lambang kejujuran visual serta keindahan dalam kesederhanaan. Menerusi karya ikoniknya, Pepper No. 30 (1930), Weston menonjolkan keindahan bentuk, tekstur dan permainan cahaya sebagai teras ekspresi artistik dalam seni fotografi.

Pengaruh falsafah Edward Weston terus bernafas dalam karya generasi muda yang menjadikan bentuk dan cahaya sebagai bahasa utama dalam fotografi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Melalui karya Shell of Secrets (2024) oleh Nurin Damia, imej cengkerang yang kelihatan sederhana diolah menjadi bahasa visual yang tenang namun mendalam. Olahan cahaya lembut dan komposisi yang bersih, karya ini mengajak penonton merenung semula hubungan antara seni, alam dan kehidupan.

Pendekatannya mencerminkan semangat Weston iaitu menyambung nilai kejujuran dan kesederhanaan yang menjadi asas keindahan visual.

Pengaruh Weston turut terserlah dalam karya yang berani bereksperimen dengan bentuk semula jadi iaitu karya Form in Simplicity (2024) oleh Muhammad Uzair. Bawang putih yang biasa dilihat di dapur diangkat menjadi subjek penuh karakter.

Berlatar hitam dan cahaya lembut, karya ini mengingatkan kepada fotografi klasik Weston iaitu keindahan yang timbul daripada kesederhanaan. Setiap garis dan tekstur kulit bawang menjadi puisi visual tentang keseim­bangan antara cahaya dan bentuk.

Karya The Silent Elegance of Mushrooms (2024) oleh Muhammad Hafiz Izzuddin pula membawa penonton menyelami keindahan senyap subjek. Gugusan cendawan dirakam dengan pencahayaan dramatik, memperlihatkan tekstur halus dan bentuk organik yang begitu hidup.

Sementara itu, Revealed Form: The Essence of Nature (2024) oleh Wan Muhammad Ammar memperlihatkan keindahan dari sudut yang jarang diberi perhatian.

Melalui irisan buah tembikai susu yang dirakam penuh teliti, bentuk, nada dan tekstur diadun dengan harmoni. Imej itu bukan sekadar rakaman objek, tetapi renungan tentang struktur dan keajaiban ciptaan alam.

Kesemua karya ini membuktikan pengaruh Edward Weston masih subur dalam kalangan generasi muda. Ia bukan sekadar tentang meniru gaya, tetapi tentang meneruskan kejujuran visual, kesederhanaan dan rasa hormat terhadap bentuk semula jadi.

Di tangan generasi baharu, warisan Weston diterjemahkan semula dalam bahasa kontemporari yang segar, menggambarkan semangat baharu dalam dunia fotografi seni di Malaysia.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fotografi dan Pengimejan Kreatif Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Cawangan Seri Iskandar, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini