DUNIA media sosial hari ini menyajikan pelbagai gelagat manusia yang mencerminkan psikologi serta tingkah laku pengguna itu sendiri.
Di sebalik jenaka yang dikongsi untuk menyindir kelakuan aneh individu lain, terdapat suatu perlakuan yang menarik untuk dirungkai dari sudut psikologi sosial, khususnya mengenai konflik mentaliti, krisis identiti dan mekanisme pertahanan diri dalam kalangan pengguna tegar media sosial.
Menurut psikologi moden, tindakan membalut pujian peribadi di sebalik keluhan melalui satira dalam komuniti siber dikenali sebagai fenomena humblebragging. Individu yang menyindir mahu menonjolkan kelebihan diri tetapi enggan kelihatan sombong secara terang-terangan.
Justeru, naratif ‘dianiaya kerana rupa’ dicipta sebagai taktik halus untuk meraih simpati, sekali gus memancing komen-komen pujian daripada kenalan warga maya bagi mendapatkan validasi yang didambakan demi menagih kepuasan digital.
Meneliti trend komunikasi masa kini, konflik interpersonal tidak lagi diselesaikan secara bersemuka, sebaliknya diheret ke pentas terbuka melalui apa yang dipanggil sebagai jenaka agresif.
Taktik menyindir pihak lain dengan cara memuji diri sendiri cantik, lalu disusuli dengan kapsyen tajam untuk menjatuhkan karakter seteru, merupakan satu bentuk manipulasi hierarki sosial.
Tempelan emoji ketawa pula bertindak sebagai perisai ego untuk mempamerkan ilusi pelaku tidak terkesan dan hanya berlelucon, menjadi alat penghinaan psikologi halus untuk meraih sokongan pengikut dan memalukan pihak lawan secara terbuka.
Tindakan menyekat atau mengabaikan seseorang selalunya berkait rapat dengan konflik interpersonal, perbezaan nilai, atau adab berkomunikasi yang menjengkelkan.
Individu yang mempunyai ego rapuh mengalami konflik dalaman apabila berhadapan dengan penolakan. Untuk menafikan hakikat dipinggirkan, mereka menolak kebenaran dan membina tanggapan tindakan orang lain berpunca daripada rasa cemburu.
Gejala ini mempunyai perkaitan rapat dengan sindrom watak utama, di mana seseorang berasa dirinya ialah pusat perhatian. Mereka cenderung mentafsirkan setiap tindakan negatif orang lain sebagai petanda dengki terhadap kelebihan mereka.
Mereka gagal mentafsirkannya sebagai satu bentuk tindak balas terhadap sikap mereka sendiri. Media sosial akhirnya menjadi ruang penafian yang mudah, membolehkan individu bermasalah melarikan diri daripada melakukan refleksi kendiri yang matang dan objektif.-UTUSAN
IZA FARADIBA MOHAMMAD PATEL
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak











