Ada yang berijazah tinggi tetapi takut buka mulut - Aznil Nawawi - Utusan Malaysia

Ada yang berijazah tinggi tetapi takut buka mulut – Aznil Nawawi

KUALA LUMPUR, 21 Oktober 2026 - Pengacara, Datuk Aznil Nawawi pada sidang media Show Ada Kelas - The Signature Communication Experience di Shook JW Marriot Kuala Lumpur. GambarM. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apa gunanya segulung ijazah jika hendak bertanya pun takut, apatah lagi berdiri di hadapan khalayak untuk menyampaikan pendapat? Bagi pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi, kelemahan berkomunikasi bukan perkara remeh, sebaliknya masalah yang perlu ditangani sejak di bangku sekolah sebelum menjadi penghalang ketika melangkah ke alam pekerjaan.

Berbekalkan pengalaman lebih empat dekad dalam industri penyiaran, Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil mahu mengubah persepsi bahawa kebolehan berkomunikasi hanya penting bagi pengacara, pelakon atau mereka yang bekerja di hadapan kamera.

Sebaliknya, kemahiran itu perlu dikuasai semua orang, khususnya golongan muda yang bakal berdepan dunia pekerjaan yang menuntut keyakinan, keupayaan menyampaikan idea dan kebolehan meyakinkan orang lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Atas kesedaran itu, Aznil bakal berkongsi ilmu dan pengalamannya menerusi program pembangunan profesional, SHOW ADA KELAS — The Signature Communication Experience, anjuran Icon Entertainment pada 28 November ini.

Bakal berlangsung di Plenary Theatre, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dari pukul 3 hingga 5 petang, program berkenaan menggabungkan perkongsian ilmu, latihan praktikal dan hiburan menerusi pendekatan pembelajaran interaktif.

Namun, bagi Aznil, komunikasi bukan sekadar tentang keberanian membuka mulut atau kebolehan bercakap tanpa henti. Lebih penting, seseorang perlu tahu bagaimana menyampaikan mesej sehingga pendengar tertarik, memahami perkara yang disampaikan dan mengingatinya.

“Saya tak memukau orang dengan suara saya. Saya memukau orang dengan cerita dan cara penceritaan saya. Jadi, memang satu jam itu terasa seperti setengah jam. Penonton tidak merasakan masa berlalu begitu lama,” katanya pada sidang media SHOW ADA KELAS — The Signature Communication Experience di sini, baru-baru ini.

Pengalaman mengendalikan pelbagai program hiburan, termasuk Akademi Fantasia (AF), mengajar Aznil bahawa kekuatan seseorang penyampai bukan semata-mata terletak pada suara, tetapi juga kebijaksanaan mengolah cerita dan membaca reaksi khalayak.

Ilmu pun ada harga, bukan hiburan sahaja 

Dalam usaha mendidik masyarakat tentang kepentingan komunikasi, Aznil turut mengambil langkah yang disifatkannya sebagai berani apabila memilih pendekatan program berbayar.

Jika sebelum ini dia berkongsi ilmu secara percuma dengan bayaran ditanggung penganjur, kali ini peserta sendiri perlu mengeluarkan wang untuk mendapatkan manfaat daripada program berkenaan.

Bagi sesetengah pihak, tindakan mengenakan bayaran untuk perkongsian ilmu mungkin mengundang persoalan. Namun, Aznil mempunyai pandangan tersendiri, sesuatu yang diperoleh secara percuma kadangkala mudah dipandang ringan, sedangkan pengorbanan wang boleh mendorong seseorang lebih menghargai pengalaman yang dibeli.

“Ini boleh dikatakan percubaan pertama saya yang agak berani kerana sebelum ini, saya mengadakan program untuk penonton secara percuma, manakala bayaran saya ditanggung penganjur.

“Kali ini, penganjur menyerahkan kepada penonton untuk membayar bagi mendapatkan ilmu. Kadang-kadang, apabila kita mendapat ilmu secara percuma, kita mengambilnya mudah. Tetapi apabila kita membayar, kita lebih menghargainya.

“Kita boleh lihat sendiri bagaimana peserta mengambil nota dan menyimpan perkara yang dipelajari kerana mereka sudah mengeluarkan wang untuk pengalaman itu.

“Kita sudah terbiasa membayar untuk mendengar lagu atau menonton filem. Begitu juga dengan ilmu, khususnya berkaitan pengucapan awam,” katanya.

Lebih membimbangkan Aznil ialah sikap malu bertanya dan takut bersuara yang dibawa dari alam persekolahan sehingga ke universiti, malah berpotensi berlanjutan ke tempat kerja.

Menurutnya, masalah keyakinan berkomunikasi perlu ditangani lebih awal dan tidak seharusnya dibiarkan sehingga seseorang terpaksa berhadapan dengan tuntutan dunia pekerjaan.

“Saya rasa kita perlu menangani masalah keyakinan berkomunikasi sejak di bangku sekolah lagi. Sikap tidak mahu bertanya soalan atau bercakap di hadapan orang ramai perlu diubah sebelum mereka memasuki alam pekerjaan.

“Jika tidak, sikap itu akan terbawa-bawa sehingga ke universiti dan tempat kerja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini