PETALING JAYA: Penyerang warisan Harimau Malaya yang terpalit dengan isu pemalsuan dokumen, Rodrigo Holgado bakal beraksi di Liga Malaysia (Liga M) selepas tempoh penggantungannya tamat hujung bulan ini.
Penyerang kelahiran Argentina dilaporkan semakin hampir untuk menyertai DPMM FC dan perkembangan berkenaan diakui sendiri kelab dari Brunei itu menerusi artikel rasmi di media sosial mereka, semalam.
“Mesin gol Malaysia, Rodrigo Holgado, semakin hampir untuk menandatangani kontrak bersama DPMM FC.
“Sepanjang musim 2024-25, Rodrigo bermain untuk America de Cali dalam saingan Primera A Colombia sebelum berpindah ke Coquimbo dalam Primera Division Chile.
“Penyerang kelahiran Argentina itu merupakan penjaring terbanyak buat Coquimbo dengan meledak 18 gol sepanjang musim 2018.
“Sepanjang musim 2024/2025 pula, dia telah menjaringkan 18 gol untuk America De Cali,” kata DPMM FC dalam kenyataan tersebut.
Sebagai rekod, Holgado merupakan antara tujuh pemain yang terpalit dengan isu pemalsuan dokumen pemain warisan Harimau Malaya tahun lalu.
Holgado dijangka dibawa masuk menyertai DPMM pada jendela kedua perpindahan Liga M yang akan dibuka bermula 5 Januari hingga 1 Februari tahun depan.
Selain Holgado, pemain lain yang terpalit dalam kes berkenaan iaitu Facundo Garces, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel juga dijangka boleh kembali beraksi selepas tamat tempoh penggantungan mereka. – UTUSAN










