Enam emas bukti semangat luar biasa atlet para negara

Enam emas bukti semangat luar biasa atlet para negara

KONTINJEN para negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam dari Jepun selepas beraksi di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 yang melabuh tirainya pada Sabtu lalu. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengorbanan, ketabahan dan semangat juang tinggi atlet para negara membuahkan hasil apabila kontinjen Malaysia mencapai sasaran enam pingat emas pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, menyifatkan pencapaian enam emas, lapan perak dan 13 gangsa itu sebagai sesuatu yang membanggakan, sekali gus membuktikan kesungguhan atlet negara dalam mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Katanya, pengalaman menyaksikan sendiri perjuangan atlet sepanjang temasya itu membuka matanya terhadap pengorbanan besar yang dilakukan demi mencapai kejayaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya cukup bangga. Wira wirawati para negara menutup kempen Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan enam emas, lapan perak dan 13 gangsa; sasaran enam pingat emas berjaya dicapai,” katanya menerusi hantaran di media sosial miliknya.

Antara detik paling membanggakan ialah kejayaan Zuhairie Ahmad Tarmizi menghadiahkan emas pertama negara dalam acara ujian masa 1,000 meter (m) C4-C5 berbasikal trek, selain memecahkan rekod temasya dengan catatan satu minit 4.882 saat.

Ketabahan turut dipamerkan jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, yang mempertahankan kejuaraan kategori 72 kilogram (kg) meskipun berdepan kecederaan bahu, selepas mengangkat bebanan 225kg.

Sementara itu, Datuk Abdul Latif Romly terus mengukuhkan reputasinya apabila menguasai acara lompat jauh T20 dengan catatan 7.39 meter (m), manakala Muhammad Nur Syaiful Zulkafli menyumbang emas menerusi renang 100m kuak dada SB4.

Dalam badminton, gandingan beregu lelaki SU5, Cheah Liek Hou dan Mohamad Faris Azri, turut menyumbang emas dengan Liek Hou tetap berjuang meskipun mengalami koyakan otot paha.

Wong Kar Gee pula membuktikan komitmen luar biasa apabila mengimbangi tanggungjawab sebagai atlet separuh masa, usahawan dan calon PhD sebelum meraih emas lompat jauh T12.

Taufiq turut menzahirkan penghargaan terhadap semangat juang Nur Azlia Syafinaz dan Nurul Suhada Zainal yang bangkit meneruskan kayuhan hingga ke garisan penamat selepas terjatuh di jalan raya, selain kejayaan Carmen Lim menamatkan penantian 12 tahun untuk meraih pingat menerusi gangsa renang 50m gaya bebas S8.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih, pasukan perubatan, mekanik, pemuat beban, pegawai dan keluarga atlet, selain Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) serta Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS) atas sokongan sepanjang kempen berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini