PETALING JAYA: Selangor FC tidak mahu mensia-siakan peluang memburu tikel final lebih awal ketika berdepan Kuching City FC dalam separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.
Kelebihan beraksi di laman sendiri dalam aksi pertama itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak buah Kim Pan Gon dan setiap peluang terhidang wajib disudahkan untuk mereka meraih bekalan selesa menjelang aksi timbal balik.
Pengendali Selangor, Kim Pan Gon menegaskan skuad kendaliannya telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi aksi separuh akhir menentang Kuching City FC.
Menurut Pan Gon, dia dan anak buahnya memiliki keazaman tinggi untuk mencapai sasaran ke final, selain mahu menghadiahkan persembahan terbaik kepada penyokong yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan.
“Bagi kami, perlawanan ini sangat penting kerana kami mahu melangkah ke final. Kami mempunyai semangat dan keinginan yang tinggi untuk mencapai sasaran itu.
“Kami akan membuat persiapan dengan baik, memburu keputusan positif dan memberikan persembahan terbaik kepada penyokong,” katanya.
Menurut pengendali dari Korea Selatan itu, perlawanan berkenaan menuntut Selangor memberikan perhatian penuh terhadap persiapan sebelum turun berdepan Kuching City.
Dia turut menegaskan keinginan pasukannya untuk menghasilkan keputusan yang baik dalam aksi penting itu, sekali gus meningkatkan peluang mereka merealisasikan impian ke final.
Pertembungan separuh akhir itu bukan sekadar satu lagi perlawanan dalam kalendar Gergasi Merah, sebaliknya peluang untuk terus mengejar sasaran yang diletakkan dalam saingan Piala FA musim ini. – UTUSAN
KAPSYEN
BEK tengah Selangor, Safuwan Baharudin ketika menjalani latihan bersama skuad di Shah Alam, kelmarin. – IHSAN SELANGOR FC











