PETALING JAYA: Kerajaan dijangka membuat keputusan berhubung cadangan perolehan misil penganti bagi sistem peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) yang dibatalkan sebelum ini bulan depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan tersebut dibuat tanpa perlu menunggu proses tuntutan bayaran selesai daripada syarikat pengeluar NSM, Kongsberg buatan Norway.
Katanya, setakat ini tiga negara pengeluar bagi menggantikan misil tersebut telah disenarai pendek iaitu Perancis, Itali dan Turkiye.
“Proses perolehan misil itu akan mengambil masa antara tiga ke empat tahun.
“Ia mengambil untuk memastikan misil penganti itu dapat diintegrasi dengan sistem pengurusan tempur (CMS) Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan Norway dilaporkan membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM kepada Malaysia termasuk sistem pelancar berkaitan atas alasan melindungi keselamatan negara itu.
Menurut laman sesawang KDA, kontrak perolehan NSM dimeterai antara TLDM dan KDA pada April 2018 dengan nilai EUR124 juta (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Susulan pembatalan itu, Malaysia mengemukakan tuntutan RM1.06 bilion terhadap KDA termasuk tuntutan langsung EUR129.86 juta (kira-kira RM604 juta) iaitu bayaran yang sudah dibuat kerajaan.
Ia turut merangkumi tuntutan tidak langsung EUR96.26 juta (kira-kira RM448.1 juta) membabitkan implikasi kos serta kesan sampingan akibat kegagalan pembekalan sistem berkenaan.-UTUSAN











