PETALING JAYA: Perebutan kerusi dalaman dijangka menjadi cabaran terbesar buat Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menguasai 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Bumi Kenyalang itu.
Walaupun GPS diyakini mampu mengekalkan pentadbiran negeri selepas DUN Sarawak dibubarkan secara rasmi semalam, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13), namun gabungan yang diterajui oleh empat parti utama itu turut berdepan cabaran tersendiri.
Untuk rekod semasa PRN Sarawak kali ke-12 pada 2021, GPS yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menang 47 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) (12 kerusi), Parti Rakyat Sarawak (PRS)(11 kerusi) dan Parti Demokratik Progresif (PDP)(enam kerusi).
Pensyarah Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, sudah tentu timbul tekanan dan hasrat yang amat tinggi daripada setiap pemimpin parti PBB, SUPP, PRS dan PDP untuk mendapatkan tiket bertanding bagi calon mereka.
“Pastinya akan ada perasaan tidak puas hati daripada kalangan calon yang tercicir. Ia boleh mencetuskan sabotaj ‘musuh dalam selimut’ atau kemunculan calon Bebas yang mesra GPS jikalau terlepas pandang atau gagal ditangani dengan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan secara rasmi semalam, sekali gus memberi laluan kepada PRN13.
Pengumuman pembubaran dibuat Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Jumaat lalu, setelah diperkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Selaras Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri, PRN hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran berkenaan.
Kuok Tiung berkata, dinamika politik Sarawak yang berbeza daripada landskap politik Semenanjung dan Sabah perlu difahami secara mendalam bagi menilai kedudukan GPS menjelang PRN13 negeri itu.
Jelasnya, sentimen terhadap parti tempatan serta peranan GPS sebagai ‘penstabil’ politik nasional memberikan kelebihan daripada segi psikologi politik dan sumber pentadbiran kepada kepemimpinan gabungan itu.
Beliau berkata, naratif Sarawak First yang dibawa GPS turut menjadi antara kekuatan utama gabungan itu, khususnya dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak di peringkat Persekutuan.
“Perjuangan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan status Sarawak serta kejayaan dalam menuntut hak hasil negeri, termasuk melalui Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum, merupakan antara faktor penting yang menjadi senjata rahsia dan benteng terkuat GPS,” katanya.
Beliau pada masa sama turut melihat kepemimpinan Abang Johari sebagai antara faktor penting dalam landskap politik negeri.
Katanya, Abang Johari mempunyai imej kepemimpinan yang merentasi batas kaum dan agama, sekali gus membolehkannya mendekati kelompok pengundi yang mempunyai latar belakang serta kepentingan berbeza.
“Abang Johari adalah figura politik Sarawak yang mampu merentasi batas kaum dan agama. Beliau dilihat pemimpin untuk semua rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.- UTUSAN











