Wang Kelian destinasi pemerhatian burung

Wang Kelian destinasi pemerhatian burung

ROSLAN Rani (dua dari kiri) pada majlis perasmian penutup The Northernmost International Bird Race 2026 di Wang Kelian, Perlis, semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Penyertaan seramai 284 peserta dalam The Northernmost International Bird Race Wang Kelian 2026 membuktikan potensi kawasan itu sebagai destinasi utama pemerhatian burung dan ekopelancongan biodiversiti di Malaysia.

Jumlah penyertaan bagi edisi ketiga itu meningkat hampir tiga kali ganda berbanding sekitar 100 peserta sebelum ini sekali gus mencerminkan sambutan semakin menggalakkan terhadap aktiviti berasaskan alam semula jadi.

Timbalan Ketua ­Pengarah (Dasar dan Perancangan) Ja­batan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Roslan Rani berkata, perkembangan itu membuktikan program ber­teraskan pemuliharaan biodiversiti berupaya menarik minat masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, keunikan landskap hutan Wang Kelian serta kedudukannya di sempadan Malaysia-Thailand memberikan kelebihan untuk diketengahkan sebagai destinasi pemerhatian burung yang berdaya saing.

“Program ini bukan sahaja memperkenalkan kepelbagaian spesies burung dan keindahan alam semula jadi, malah memperkukuh imej Perlis sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi.

“Penganjurannya juga menjadi platform strategik untuk mempererat kerjasama Malaysia-Thailand dalam perkongsian pengetahuan, pendidikan konservasi dan pemuliharaan biodiversiti rentas sempadan,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup The Northernmost International Bird Race Wang Kelian 2026 di sini kelmarin yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar ne­geri, Megat Hashirat Hassan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata, rekod ekspedisi saintifik dan inventori jabatan dari 2022 hingga 2025 menunjukkan sebanyak 172 spesies burung dikenal pasti di Wang Kelian.

Menurutnya, angka itu tidak termasuk pemerhatian per­sendirian sekali gus menunjukkan kekayaan biodiversiti kawasan berkenaan berpotensi diterokai lebih meluas.

Katanya, peningkatan pe­nemuan spesies oleh peserta tahun ini turut mencerminkan kemajuan pengetahuan masyarakat dalam pengecaman burung serta kepentingan pemuliharaan.

Jabatan Perhutanan ne­geri juga merancang menerbitkan buku Bird of Perlis Volume 2 bagi mendokumentasikan ke­pelbagaian spesies burung di Taman Negeri Perlis.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini