KANGAR: Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian yang terjejas akibat tanah runtuh pada November lalu bakal dibuka semula kepada semua kenderaan, tertakluk kepada pematuhan syarat keselamatan yang ditetapkan.
Pembukaan semula laluan itu bermula Ahad ini, selaras dengan keputusan mesyuarat penyelarasan bersama jabatan, agensi teknikal dan penguatkuasaan yang berlangsung Jumaat lepas.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah, berkata keputusan itu diambil selepas mengambil kira keselamatan struktur jalan, kawalan trafik dan kepentingan mobiliti penduduk serta pengguna jalan raya.
“Untuk memastikan kelancaran trafik dan keselamatan, kenderaan berat melebihi tiga tan dibenarkan menggunakan laluan antara pukul 6 pagi hingga 6 petang sahaja, manakala kenderaan ringan tiada had masa dikenakan,” katanya di sini semalam.
Penduduk Wang Kelian sebelum ini terputus hubungan selepas jalan utama dari View Point Wang Kelian ke Kampung Wang Kelian runtuh akibat banjir besar November lalu.
Pembukaan semula laluan strategik ini bertujuan meningkatkan keselamatan, keselesaan pengguna dan memperkukuh rangkaian perhubungan darat negeri.
Abu Bakar berkata langkah ini juga menyokong pertumbuhan sosioekonomi, khususnya di kawasan sempadan dan destinasi pelancongan negeri.
“Kerja-kerja pembinaan jalan dan pembaikan cerun dijangka siap menjelang Julai depan,” katanya.
Berikutan itu, semua pengguna jalan raya dinasihati mematuhi papan tanda, peraturan lalu lintas dan arahan petugas keselamatan di lokasi berkenaan. – UTUSAN










