PADANG BESAR: The Northernmost International Bird Race 2026 yang memasuki edisi ketiga berjaya merekodkan penyertaan tertinggi, sekali gus menunjukkan sambutan masyarakat terhadap aktiviti pemerhatian burung semakin diterima dan terus mendapat perhatian.
Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata, edisi kali ini merekodkan seramai 284 penyertaan berbanding pada tahun-tahun sebelum ini sekitar 100 peserta.
Katanya, program tersebut turut membantu para peserta meningkatkan pengetahuan mereka mengenai pengecaman spesies burung dan kepentingan pemuliharaan biodiversiti.
“Ia sekali gus turut menyerlahkan potensi Wang Kelian sebagai destinasi pemerhatian burung dan ekopelancongan biodiversiti yang berdaya saing,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup The Northernmost İnternational Bird Race Wang Kelian 2026 di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Kesihatan, Keusahawanan dan Koperasi serta Alam Sekitar negeri, Megat Hashirat Hassan yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Roslan Rani.
Program yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober itu turut mengetengahkan pelbagai aktiviti berkaitan biodiversiti dan rekreasi bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan alam semula jadi.
Penganjuran pada tahun ini mengetengahkan tiga kategori pertandingan utama iaitu bird race, photo race dan bird photography yang menyediakan ruang kepada para peserta untuk menghayati keunikan kepelbagaian spesies burung serta merakam khazanah alam semula jadi melalui pendekatan kreatif dan berinformasi.
Sementara itu,Ag Shaffie memberitahu, berdasarkan rekod ekspedisi saintifik dan inventori jabatan dari 2022 hingga 2025, sebanyak 172 spesies burung direkodkan di Wang Kelian.
“Jumlah tersebut tidak termasuk pemerhatian dilakukan secara persendirian. Insya-Allah kita akan keluarkan satu buku ‘Bird Of Perlis Volume 2’ selepas ini mengenai kepelbagaian burung di Taman Negeri,” katanya.
Katanya lagi, penganjuran program kali ini turut memperlihatkan peningkatan jumlah dapatan penemuan burung-burung oleh peserta berbanding sebelum ini.
“Kalau dilihat ada pemenang dapat cari sehingga 91 spesies burung berbanding dua tahun kebelakangan ini hanya dalam belasan sahaja iaitu antara 10 ke 15. Ini bermakna kefahaman masyarakat tentang pengecaman burung telah meningkat dan ia satu petanda baik
“Kita tidak nafikan peringkat awal memang mereka tidak berapa faham namun dengan
penganjuran berterusan, mereka dapat meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan pemuliharaan,” katanya.-UTUSAN











