PN akur tujuh kerusi DUN Melaka ikut prinsip penyandang

PN akur tujuh kerusi DUN Melaka ikut prinsip penyandang

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akur dengan tujuh kerusi yang diperuntukkan oleh Barisan Nasional (BN) kepada gabungan itu bagi Pilihan Raya Ne­geri (PRN) Melaka.

Ini selaras prinsip asas kerjasama yang menetapkan kerusi dimenangi kekal kepada parti penyandang (incumbent).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, prinsip itu menjadi asas dalam kerjasama antara parti dan perlu dipatuhi bagi memastikan kerjasama berkenaan tidak terjejas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bila kita buat kerjasama, kita kena bertindak polisi asas, dasar asasnya ialah incumbent seat kekal pada parti pemenang.

“Jadi itu prinsip asas, kalau kita langgar prinsip itu akan rosak semualah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambahnya, PN bersetuju de­ngan polisi berkenaan dan akur dengan pembahagian kerusi yang dibuat.

“Kami setuju dengan polisi tersebut dan kami akurlah, yang mana UMNO menang, kekal pada mereka. Selain daripada mereka menang, kami bebas untuk bertanding,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, semua komponen PN akan bertanding pada PRN Melaka namun pembahagian tujuh kerusi itu kepada setiap parti belum diumumkan.

Beliau berkata, PN akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya sebelum ini selain terdapat beberapa kerusi yang mungkin berlaku pertukaran.

“Semua komponen bertan­ding. Pas, Gerakan, MIPP (Parti Rakyat India Malaysia), jangka semua parti-parti akan bertan­dinglah. Kita pertahan kerusi yang kita menang dan ada kerusi yang mungkin tukar,” katanya.

Menurutnya, PN akan mengumumkan calon dan pembahagian baki tujuh kerusi berkenaan pada 29 Oktober ini.

“Bermakna kami akan isytihar calon dan terus umum kerusi-kerusi baki itulah kepada parti-parti mana dan siapa calon.

“Hingga setakat ini macam hampir muktamadlah begitu,” katanya.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) kekal dengan keputusan memperuntukkan tujuh kerusi tidak ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kepada Perikatan Nasional (PN), meskipun terdapat usaha untuk mendapatkan kerusi tambahan.

Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu telah dipersetujui menerusi perjanjian bersama dan BN akan berpegang pada persetujuan berkenaan. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini