RIYADH: Pakatan diketuai Arab Saudi memusnahkan dua pelancar peluru berpandu balistik di Sanaa, Yaman, termasuk sebuah yang digunakan untuk melancarkan peluru berpandu ke arah Riyadh sebelum dipintas pertahanan udara negara itu.
Jurucakap Pakatan Pemulihan Legitimasi di Yaman, Mejar Jeneral Turki Al-Maliki mengumumkan operasi itu menerusi beberapa hantaran di platform X pada Isnin.
“Operasi untuk melumpuhkan rangkaian peluru berpandu balistik Houthi diteruskan,” katanya dalam satu hantaran berasingan.
Serangan balas itu menyusuli pelancaran peluru berpandu ke arah Riyadh pada malam sebelumnya yang berjaya dipintas dan dimusnahkan oleh pertahanan udara Arab Saudi.
Penduduk ibu negara itu dikejutkan dengan amaran Pertahanan Awam yang dihantar ke telefon bimbit mereka pada pukul 3.42 pagi waktu tempatan berhubung kemungkinan ancaman udara.
Beberapa minit kemudian, satu lagi amaran dikeluarkan bagi memaklumkan bahawa ancaman itu telah berakhir.
Pakatan itu berkata, operasi ketenteraan berkenaan dilaksanakan sebagai tindak balas terhadap serangan berulang Houthi dan percubaan kumpulan itu menyasarkan orang awam.
Operasi berkenaan juga didakwa mematuhi undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Serangan peluru berpandu dan dron Houthi terhadap Arab Saudi dilaporkan semakin meningkat, dengan sasaran termasuk Riyadh, bandar-bandar di selatan serta kawasan di barat negara itu, termasuk lokasi berhampiran Mekah.
Dalam perkembangan berkaitan, pakatan itu turut mendakwa memusnahkan lima terowong yang digunakan Houthi untuk menyimpan peluru berpandu balistik dan empat pelantar pelancaran peluru berpandu.
Operasi berkenaan turut menyasarkan sebuah depoh peluru berpandu, selain kubu pertahanan dan kelengkapan ketenteraan kumpulan itu di sepanjang barisan hadapan di Yaman.
Pakatan itu berkata, operasi berkenaan turut bertujuan memutuskan laluan bekalan Houthi antara kawasan di bawah kawalan kumpulan tersebut. – AGENSI











