Jantung berdegup laju ketika bersenam, teruja atau mengalami tekanan merupakan tindak balas normal tubuh. Namun, degupan jantung yang kelihatan normal tidak semestinya menandakan salur darah yang membekalkan darah ke jantung berada dalam keadaan sihat.
Pakar Perunding Kardiologi Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Dr. Mohamed Nazrul Mohamed Nazeeb berkata, penyakit arteri koronari (CAD) boleh berkembang secara perlahan-lahan tanpa menunjukkan gejala jelas.

Menurutnya, penyakit itu berlaku apabila plak yang terdiri daripada kolesterol, kalsium dan bahan lain terkumpul di dalam arteri koronari, menyebabkan salur darah menyempit serta mengehadkan bekalan darah dan oksigen ke otot jantung.
“Penyakit arteri koronari boleh berkembang tanpa tanda jelas, sebab itu ia mungkin tidak dikesan sehingga berlaku komplikasi lebih serius,” katanya kepada Utusan Malaysia.
TANDA AMARAN
Jantung berdebar atau palpitasi merujuk kepada keadaan apabila seseorang merasakan jantung berdegup lebih laju, kuat atau berbeza daripada kebiasaan. Walaupun keadaan itu boleh berlaku akibat aktiviti fizikal dan tekanan, palpitasi yang berterusan atau luar biasa perlu diberi perhatian, terutama jika disertai sakit dada, sesak nafas, pening atau pengsan.
Pada masa sama, ketiadaan simptom tidak bermakna seseorang bebas daripada penyakit jantung.
Antara faktor risiko CAD ialah kolesterol tinggi, diabetes, tekanan darah tinggi, merokok, obesiti dan sejarah keluarga menghidap penyakit kardiovaskular pramatang.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian yang disahkan secara perubatan pada 2024, dengan 17,421 kematian atau 13 peratus daripada keseluruhan kematian yang disahkan secara perubatan.
PEMERIKSAAN, RAWATAN
Dr. Mohamed Nazrul berkata, pengesanan CAD memerlukan penilaian berdasarkan simptom, usia, faktor risiko dan keadaan kesihatan pesakit.
Antara pemeriksaan yang boleh dilakukan ialah skor kalsium arteri koronari, angiografi CT koronari (CCTA), ujian tekanan senaman serta pengimejan jantung.
Dalam keadaan tertentu, angiografi koronari mungkin diperlukan untuk menilai salur darah dengan lebih terperinci.
Katanya, salur darah yang sempit atau tersumbat tidak semestinya memerlukan pemasangan stent. Rawatan bergantung pada lokasi dan tahap sumbatan, fungsi jantung serta keadaan keseluruhan pesakit.
Selain stent, belon bersalut ubat atau drug-coated balloon (DCB) turut digunakan bagi pesakit terpilih. Belon khas itu menyalurkan ubat terus ke dinding arteri yang menyempit sebelum dikeluarkan, tanpa meninggalkan implan kekal.











