PGL: Sanggup ke Solo dalami ilmu Tembang Jawa - Nadia Aqilah - Utusan Malaysia

PGL: Sanggup ke Solo dalami ilmu Tembang Jawa – Nadia Aqilah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan sekadar menghafal dialog atau menghayati emosi, pelakon Nadia Aqilah sanggup ke Solo, Indonesia, demi menyelami kehalusan seni dan budaya Jawa bagi menghidupkan watak Bayan dalam pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang The Musical.

Kesungguhan itu bukan tanpa alasan apabila Nadia mahu memastikan setiap bait, sebutan dan gerak rasa yang dibawanya mempunyai penghayatan tersendiri, sekali gus memberikan dimensi lebih mendalam kepada watak yang menjadi antara tonggak penting dalam kehidupan Puteri Gunung Ledang.

Bagi Nadia, tanggungjawab menghidupkan watak berkenaan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan, apatah lagi apabila bergandingan dengan barisan pelakon dan pasukan produksi yang turut memberikan komitmen tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengakui perasaan gementar sentiasa mengiringi dirinya, pelakon itu bagaimanapun menganggap debaran berkenaan sebagai pembakar semangat untuk memberikan persembahan terbaik.

“Perasaan gementar itu memang perlu ada kerana tanggungjawab yang dipikul sangat besar. Kadangkala kita mungkin tidak menunjukkan rasa gementar, tetapi sebenarnya kita sangat berdebar.

“Apabila berada di sini dan melihat barisan pelakon lain, pengarah serta keseluruhan pasukan produksi, kita tidak boleh mengecewakan mereka. Kita perlu memberikan yang terbaik.

“Kami merancang untuk ke Solo ketika sedang menjalani bengkel. Walaupun jadual kami berdua sangat padat, akhirnya kami berjaya mengatur perjalanan selama seminggu.

“Kami pergi ke sana khusus untuk mempelajari tembang pendek. Namun, pembelajaran itu bukan sekadar tentang lagu. Kami perlu memahami falsafah, sebutan, kisah dan perkara paling penting, iaitu niat di sebalik tembang tersebut,” katanya.

Proses pembelajaran itu juga menuntut ketelitian tinggi apabila mereka perlu memastikan setiap sebutan bahasa Jawa Kuno dilafazkan dengan tepat.

Malah, Nadia mendedahkan mereka pernah mengambil masa hampir 30 minit hanya untuk membetulkan satu baris tembang.

“Ada kalanya kami mengambil masa hampir 30 minit hanya untuk membetulkan satu baris. Kami bukan sekadar perlu menyanyi, tetapi perlu memahami sebutan bahasa Jawa Kuno dengan betul.

“Kami benar-benar mahu mencari keaslian watak Bayan. Apabila akhirnya berjaya melakukannya dengan tepat, perasaan itu sangat menyentuh hati sehingga membuatkan kami menangis,” katanya.

Pengalaman mendalami budaya Jawa itu turut membantu Nadia memahami bahawa Bayan bukan sekadar watak sampingan yang menemani Puteri, sebaliknya individu penting yang membentuk pemikiran, keperibadian dan perjalanan hidup watak utama berkenaan.

Menurutnya, semakin mendalam penelitian dilakukan, semakin banyak lapisan karakter Bayan yang ditemui sehingga membuka ruang untuk watak itu diberikan penonjolan lebih besar dalam pementasan kali ini.

“Apabila kita mendalami watak Bayan di Solo, kita mula memahami betapa besarnya kekuatan watak ini. Bayan bukan sekadar teman kepada Puteri. Semakin banyak yang kita pelajari, semakin kita sedar bahawa watak ini mempunyai banyak lapisan.

“Kita mula berfikir bahawa watak ini perlu diberikan lebih banyak ruang untuk ditonjolkan. Sebab itu, setiap babak diperhalusi berkali-kali supaya watak Bayan dapat disampaikan dengan lebih berkesan,” katanya.

Nadia turut menjelaskan bahawa Bayan mempunyai kedudukan istimewa dalam kehidupan Puteri dan Adipati kerana digambarkan sebagai individu yang membesarkan serta mendidik mereka sejak kecil.

Berasal daripada keturunan yang berkhidmat di istana, Bayan memikul tanggungjawab bukan sahaja untuk menjaga golongan diraja, malah membimbing mereka dalam pembentukan sahsiah dan pemikiran.

“Bayan boleh diibaratkan seperti kakak sulung yang membesarkan Puteri dan Adipati. Ibu serta neneknya juga merupakan Bayan yang dilahirkan dalam lingkungan kehidupan istana.

“Bagi saya, Bayan bukan sekadar menjaga Puteri, tetapi turut membentuk pemikiran dan keperibadiannya. Peranan itu sangat besar, malah mempunyai kekuatan dari sudut spiritual,” katanya.

Pemahaman itu turut diperkukuh menerusi kunjungan mereka ke lokasi bersejarah di Solo, termasuk kompleks Mangkunegaran, yang membolehkan mereka mendekati suasana serta warisan budaya Jawa secara langsung.

Bagi Nadia, pengalaman berkenaan memberikan ruang untuk memahami hubungan antara seni, tradisi dan penghayatan karakter, sekali gus membantu membina gambaran lebih jelas tentang dunia yang menjadi latar kepada watak Bayan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini