Pemandu tren Sepanyol lancar mogok 

Pemandu tren Sepanyol lancar mogok 

PASUKAN kecemasan menjalankan operasi di lokasi nahas tren berkelajuan tinggi Renfe AVE dan Iryo di wilayah Toledo.-AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Pemandu tren Renfe mengadakan mogok bermula semalam bagi menuntut penambahbaikan keselamatan sistem kereta api serta pelaksanaan perjanjian yang dicapai dengan pihak pentadbiran dan syarikat dalam sektor itu.

Mogok yang dianjurkan oleh Kesatuan Pemandu dan Pembantu Kereta Api Sepanyol (Semaf) itu berlangsung sehari selepas perlanggaran tren berhampiran Urda di wilayah Toledo meragut 68 nyawa dan mencederakan lebih 100 orang, yang turut disifatkan nahas kereta api paling buruk dalam sejarah moden Eropah.  

Semaf memutuskan untuk meneruskan mogok itu meskipun bencana berkenaan serius selepas rundingan mengenai perjanjian berkaitan keselamatan kereta api menemui jalan buntu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesatuan itu mendakwa beberapa langkah yang dianggap sebagai keutamaan masih belum dilaksanakan meskipun pertemuan diadakan dengan Kementerian Pengangkutan, pengendali infrastruktur kereta api Adif, Agensi Keselamatan Kereta Api Negara dan Renfe.

Antara tuntutan utama Semaf ialah pelaksanaan protokol yang mengikat bagi menangani kecemasan cuaca dan situasi berisiko di landasan kereta api.

Kesatuan itu turut menuntut penyelarasan komunikasi operasi yang jelas serta menegaskan keselamatan perlu diutamakan berbanding desakan untuk memastikan perkhidmatan kereta api terus beroperasi.

Pihak berkuasa sedang menyiasat punca bencana di Urda yang berlaku apabila sebuah tren dari Madrid menuju ke Seville merempuh sebuah tren yang berhenti di landasan pada pagi Rabu.

Menurut Menteri Pengangkutan Sepanyol, Óscar Puente, tren membawa 147 penumpang dikendalikan syarikat swasta, Iryo berhenti di landasan akibat kegagalan sistem komputer.  

Beliau berkata, jika berlaku kegagalan sistem, sebuah pusat kawalan 24 jam di Madrid akan mengambil alih operasi. Bagaimanapun, pusat itu membuat keputusan yang tidak dapat dijelaskan apabila mengarahkan tren bergerak semula tanpa sebarang had kelajuan.

Iryo berkata, tren kendaliannya dilanggar dari belakang oleh sebuah lagi tren yang dikendalikan syarikat kereta api milik kerajaan Sepanyol, Renfe yang membawa 397 penumpang. Kekuatan rempuhan itu menyebabkan beberapa gerabak terjunam ke cerun.

Saksi menceritakan mereka melihat penumpang menangis dan berlumuran darah, ada yang terperangkap di tempat duduk masing-masing, manakala asap tebal memenuhi gerabak. Salah satu gerabak turut terbakar.

Kebanyakan parti politik menggantung kempen pilihan raya yang bakal berlangsung susulan kejadian itu.

Pada malam kejadian, kira-kira 1,500 orang berhimpun di luar bangunan Kementerian Pengangkutan Sepanyol di ibu negara, dengan kebanyakan penunjuk perasaan menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri, Pedro Sanchez dan Puente.

Polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai selepas penunjuk perasaan membaling botol dan suar. Tiada kecederaan atau penahanan dilaporkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini