SERDANG: Pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 sanggup berpanas dan berjalan jauh dari tempat letak kereta bagi mengunjungi program yang dianjurkan buat kali ke-100 itu.
Tinjauan Utusan Malaysia selama satu jam di pintu 1 MAHA 2024 mendapati ramai pengunjung yang memilih untuk meletakkan kenderaan di luar kawasan iaitu lebih 500 meter dari pintu masuk tersebut kerana tidak ‘sanggup’ menempuh kesesakan untuk memasuki MAHA 2024.
Pengunjung, Ahmad Kamil Shaari, 63, berkata, beliau menempuh perjalanan selama dua jam untuk sampai ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini dari rumahnya di Hulu Langat.
“Tahun ini pertama kali saya datang ke MAHA 2024 untuk membawa keluarga memandangkan hari ini merupakan hari cuti umum. Jadi saya manfaatkan cuti tersebut untuk luangkan masa di sini.
“Saya terpaksa meletakkan kereta jauh di luar kerana kesesakan untuk masuk ke MAHA 2024 dan bimbang kalau di tempat letak kereta yang disediakan di dalam sudah penuh,” katanya ketika ditemui di sini.
Seorang lagi pengunjung, Mohd. Sabri Said, 45, berkata, tempat letak kereta sudah penuh ketika dia tiba dan terpaksa menyelit sedikit untuk meletakkan kenderaan sebelum bersama keluarganya berjalan ke tapak pameran walaupun cuaca panas.
“Saya rasa program seperti ini sangat baik terutama dianjurkan semasa cuti sekolah, jadi saya boleh bawa anak-anak ke sini untuk melihat pameran dan sebagainya,” jelasnya ketika ditemui di Laman Tiba 1.
Sementara itu, pengunjung, Noor Azwani Shamsudin, 20, berkata, dia bersama rakan-rakan memilih untuk menaiki perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) dari Cyberjaya ke MAHA 2024 kerana tidak mahu menempuh kesesakan.
“Saya sudah tiga kali hadir ke MAHA dan bagi saya penganjuran kali ini merupakan paling meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana terdapat pelbagai pameran dan perkara baharu yang dipamerkan,” ujarnya. – UTUSAN










