KUALA LUMPUR: Kehadiran pelajar antarabangsa di institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan diunjurkan menyumbang sekurang-kurangnya RM16 bilion setahun kepada ekonomi negara, tidak termasuk kesan limpahan daripada pelbagai kegiatan ekonomi lain.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, unjuran itu belum mengambil kira kegiatan ekonomi lain yang turut menjana pendapatan kepada pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, unjuran berkenaan juga belum mengambil kira manfaat ekonomi lain yang dapat dinikmati pelbagai pihak menerusi kehadiran pelajar antarabangsa di Malaysia.
“Unjuran yang dibuat adalah sebanyak sekurang-kurangnya RM16 bilion setiap tahun. Itu kita belum tengok kesan limpahan ekonomi daripada pelbagai kegiatan ekonomi lain.
“Kalau kita tengok dari segi pelbagai kegiatan ekonomi yang lain, ia juga dapat menjana pendapatan bagi kumpulan-kumpulan NGO dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar sempena program International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Tambah Zambry, Malaysia ketika ini menerima kira-kira 170,000 pelajar antarabangsa dari 180 negara yang mengikuti pengajian di IPT tempatan.
Katanya, jumlah itu dijangka terus meningkat dengan sasaran kerajaan untuk mencapai kira-kira 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2030.
“Dalam usaha mencapai sasaran berkenaan, Kementerian Pendidikan Tinggi turut memberi perhatian kepada kepelbagaian negara asal pelajar supaya kemasukan mereka tidak hanya tertumpu kepada negara tertentu.
“Kehadiran pelajar dari pelbagai negara penting bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk melanjutkan pengajian tinggi.
“Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, penganjuran iFUTURE yang menghimpunkan lebih 1,200 pemimpin pelajar dari 60 negara juga merupakan antara sumbangan Malaysia dalam pembangunan kepimpinan generasi muda di peringkat antarabangsa,” katanya.-UTUSAN











