KPT tidak kompromi isu hina agama

KPT tidak kompromi isu hina agama

DR. Zambry Abd Kadir menyerahkan Sumbangan Kasih Ramadan kepada pelajar asnaf ketika Program Kembara Ramadan Bersama Menteri Pendidikan Tinggi dan Majlis Iftar Perdana Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Kompleks Islam Tuanku Muhriz di Nilai, Seremban, hari ini.-UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menghina agama lain.

Ia susulan insiden seorang pelajar institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di Pahang yang didakwa memijak al-Quran baru-baru ini

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, perbuatan seumpama itu jelas melanggar prinsip asas keharmonian dan tidak boleh diterima dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Menurutnya, institusi berkenaan telah diarahkan mengambil tindkaan segera termasuk membuat laporan polis sejurus insiden berkenaan dilaporkan.

”Saya telah menekankan bahawa kita tidak akan berkompromi sama sekali. Itu soal prinsip asas yang saya sebutkan.

”Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang membuat tindakan seperti ini, yang tidak beradab dan menghina agama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Kembara Ramadan Bersama Menteri Pendidikan Tinggi dan Majlis Iftar Perdana Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Kompleks Islam Tuanku Muhriz di Nilai, hari ini.

Zambry berkata, pelajar terbabit telah ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan dan kementerian akan mengambil tindakan berdasarkan peraturan sedia ada.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati semua pihak khususnya pelajar agar saling hormat-menghormati serta tidak melakukan sebarang tindakan yang menyentuh sensitiviti mana-mana kaum.

”Kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama. Sifat saling hormat-menghormati itu mesti dibina dalam diri masing-masing, lebih-lebih lagi dalam institusi pendidikan tinggi yang terdapat pelajar daripada pelbagai bilang kaum,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan berhubung gambar kaki dipercayai dirinya memijak al-Quran lalu dimuat naik di akaun sosial medianya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN