SERDANG: Pembangunan negara tidak boleh digerakkan semata-mata atas dasar pencapaian material dan pertumbuhan ekonomi, sebaliknya perlu berpaksikan ilmu, nilai murni serta kemanusiaan bagi melahirkan kepimpinan seimbang dan beretika.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pendidikan tinggi memainkan peranan strategik dalam membentuk pemimpin masa depan yang bukan sahaja berkeupayaan intelektual, tetapi memiliki jiwa insani dan integriti yang tinggi.
“Universiti tidak seharusnya terhad kepada fungsi penganugerahan sijil semata-mata, sebaliknya berperanan membentuk pemikiran kritis, keupayaan membuat pertimbangan beretika serta kepimpinan berprinsip dalam kalangan graduan.
“Institusi pengajian tinggi perlu menjadi medan melahirkan pemimpin berdaya fikir, beretika dan berjiwa insani agar pembangunan negara dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan mampan,” katanya ketika berucap pada Program Professor of Practice (POP) Talk 2026, di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.
Turut hadiar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Azmawani Abd. Rahman.
Ia menghimpunkan warga akademik, pelajar pascasiswazah serta pengamal industri bagi membincangkan hala tuju pendidikan tinggi berteraskan nilai kemanusiaan.
Sementara itu, Azmawani berkata, penganjuran program berkenaan selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) yang menekankan pendekatan kepimpinan berpusatkan manusia.
Katanya inisiatif POP Talk memperkukuh komitmen PBS dalam menyediakan pengalaman pembelajaran berimpak tinggi yang menghubungkan teori akademik dengan realiti kepimpinan dan cabaran semasa negara.
“Sebagai sekolah perniagaan pascasiswazah bertaraf global, PBS menawarkan program MBA, DBA, PhD dan MSc yang diterajui barisan pakar akademik serta pengamal industri berpengalaman.
“Kerjasama erat antara pemimpin negara dan komuniti akademik diyakini mampu membentuk landskap pendidikan tinggi yang lebih seimbang, beretika dan berdaya saing di peringkat nasional dan global,” katanya. – UTUSAN










