PETALING JAYA: Nyawa penduduk Gaza kini bukan saja terancam akibat serangan tidak berperikemanusiaan oleh Israel bahkan terpaksa berdepan ancaman penularan penyakit berjangkit kronik seperti wabak meningitis.
Setakat bulan ini, sebanyak 1,790 kes sudah direkodkan hanya melibatkan kanak-kanak dan bayi yang menghidap meningitis iaitu penyakit keradangan pada selaput otak dan saraf tunjang yang berisiko membawa maut.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, meningitis adalah penyakit yang amat berbahaya bagi rakyat Palestin khususnya di Gaza kerana bukan saja disebabkan sifat penyakit itu sendiri malah turut dipengaruhi oleh keadaan kehidupan mereka.
Katanya, kemusnahan kediaman dan pembunuhan beramai-ramai telah menyebabkan penduduk berpindah secara besar-besar sehingga menjadi pelarian di bumi sendiri.
“Kesesakan di kem-kem penempatan yang tidak memenuhi piawaian keselamatan dan kesihatan telah meningkatkan risiko penularan pelbagai penyakit berjangkit secara meluas termasuklah meningitis,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dr. Sharif berkata, penderitaan penduduk Gaza berlanjutan apabila sistem bekalan air dan pembentungan telah runtuh menyebabkan pencemaran sumber air bersih.
Katanya, penduduk yang hilang tempat tinggal juga berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih mencukupi untuk diminum, kegunaan harian dan membersihkan diri.
“Antara faktor lain yang memburukkan keadaan ialah kekurangan zat makanan akibat sekatan Israel dan halangan terhadap kemasukan bahan makanan berkhasiat secara bebas.
“Malah, bekalan makanan yang dibenarkan masuk masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk, selain dijual pada harga tinggi sehingga tidak mampu ditanggung oleh keluarga untuk menyediakan makanan kepada anak-anak mereka,” katanya.
Lebih parah, beliau berkata, kemusnahan hospital serta sekatan kemasukan pelbagai jenis ubat-ubatan, vaksin dan bekalan perubatan, termasuk bahan api serta bahan binaan untuk membina semula fasiliti kesihatan, turut menyebabkan kesukaran mendapatkan rawatan.
“Kesan peperangan dan pembunuhan beramai-ramai menyebabkan malapetaka terhadap terhadap sektor kesihatan dan kemanusiaan. Sebarang penularan penyakit berjangkit dan berbahaya seperti meningitis boleh berkembang menjadi krisis kesihatan meluas, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan bayi.
“Amaran daripada Kementerian Kesihatan di Gaza berhubung krisis ini perlu sampai kepada masyarakat antarabangsa serta kerajaan-kerajaan yang telah membentuk Majlis Keamanan sejak lebih setahun lalu, namun masih tidak mempunyai keupayaan sebenar untuk membawa keamanan dan keselamatan kepada penduduk Gaza,” katanya. – UTUSAN











