Serangan melonjak, Iran agresif kawal Selat Hormuz

Serangan melonjak, Iran agresif kawal Selat Hormuz

SEBUAH kapal melintasi Teluk Oman di luar pesisir Khor Fakkan, di emiriah Sharjah yang terletak di bahagian timur UAE.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran semakin agresif mempertahankan pengaruhnya di Selat Hormuz apabila serangan terhadap kapal dagang di laluan perairan itu meningkat ke paras tertinggi sejak perang dengan Amerika Syarikat (AS) bermula.

Data Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) menunjukkan lebih 30 serangan dilaporkan sepanjang Oktober lalu, angka tertinggi sejak konflik tercetus pada akhir Februari.

Sekurang-kurangnya 22 lagi serangan direkodkan setakat kelmarin, menjadikan November bulan kedua tertinggi sejak perang bermula.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut laporan CNN, peningkatan itu ketara berbanding purata kira-kira 10 serangan sebulan sebelum Oktober, dengan kawasan pemantauan meliputi Selat Hormuz, Teluk Parsi dan Teluk Oman.

Ketegangan berlaku ketika Iran berusaha mengukuhkan semula pengaruhnya terhadap Selat Hormuz susulan sekatan AS ke atas pelabuhan negara itu, selain kejatuhan harga minyak dunia yang semakin menjejaskan pendapatan Teheran.

Sebelum perang, kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia melalui perairan itu, namun pergerakan kapal komersial kini masih jauh lebih rendah berbanding paras pada 2025.

Pakar berkata, Iran semakin kehilangan pengaruh terhadap laluan perairan strategik itu dan berkemungkinan memperhebatkan serangan dalam usaha mendesak Washington memberikan lebih banyak konsesi.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengaitkan penurunan harga minyak baru-baru ini dengan pemulihan eksport dari negara Teluk, manakala kebimbangan terhadap kemungkinan tindakan ketenteraan baharu AS di Asia Barat turut reda selepas keputusan pilihan pertengahan penggal negara itu.

Penganalisis kanan Iran di International Crisis Group (ICG), Hamidreza Azizi berkata, pasaran semakin menjangkakan perang berskala penuh tidak akan kembali tercetus dan bekalan minyak akan pulih secara beransur-ansur.

“Namun, ramalan itu boleh berubah dengan pantas sekiranya Iran memutuskan untuk meningkatkan ketegangan,” katanya kepada CNN.

Tekanan terhadap Teheran turut meningkat apabila sekatan AS terhadap pelabuhan Iran terus menyekat eksport minyak negara itu ke pasaran antarabangsa, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan utamanya.

Perkhidmatan pemantauan data maritim, Kpler pada akhir Oktober melaporkan  hasil pendapatan domestik Iran daripada sektor minyak merosot dengan ketara apabila sekatan AS terhadap pelabuhan negara itu terus menyekat bekalan minyak Iran ke pasaran global.

“Jumlah minyak Iran yang berada di atas kapal di luar kawasan sekatan AS kini mencecah sifar selepas penghantaran terakhir selesai dipunggah di China awal bulan ini.

“Susulan itu, hasil pendapatan minyak Iran berkemungkinan merosot kepada sifar menjelang pertengahan Disember,” menurut laporan itu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini