Trump angkuh mampu akhiri perang Iran tanpa bantuan China, Russia

Trump angkuh mampu akhiri perang Iran tanpa bantuan China, Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menegaskan Washington tidak memerlukan bantuan China atau Russia untuk menamatkan konflik dengan Iran.

Trump berkata, AS sudah berjaya melumpuhkan kekuatan ketenteraan Iran termasuk tentera laut, tentera udara dan sistem pertahanan antipesawat negara itu.

“Kami tidak memerlukan sebarang bantuan. Kami sudah menewaskan tentera laut mereka, tentera udara mereka dan sistem pertahanan antipesawat mereka,” katanya kepada Fox News di Shenzhen, China, menjelang pertemuan tiga hala bersama Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Russia, Vladimir Putin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau mendakwa keupayaan peluru berpandu Iran kini merosot kepada kira-kira 12 hingga 13 peratus berbanding tahap sebelumnya, selain menyatakan Tehran mahu mencapai perjanjian dengan Washington.

Sehubungan itu, Trump berkata, beliau tidak akan meminta bantuan daripada Beijing atau Moscow bagi menamatkan konflik berkenaan.

Beliau turut mendakwa AS kini mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz.

Beliau berkata, China dan Russia juga tidak menghantar kapal ke perairan berkenaan, selain menyifatkan kedua-dua negara itu telah memberikan layanan baik kepada Washington.

Mengulas kemungkinan rundingan dengan Tehran, Trump berkata, Iran mahu mencapai perjanjian, namun beliau mahukan penyelesaian yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

“Mereka mahu mencapai perjanjian, tetapi saya mahukan perjanjian yang berkekalan,” katanya.

Beliau turut berkata, konflik itu akan ditamatkan dalam masa terdekat tanpa mengira pendekatan yang perlu diambil.

“Saya akan menamatkannya tidak lama lagi. Dengan satu cara atau cara lain, kita akan menamatkannya,” katanya.

Ditanya mengenai kelebihan mengadakan pertemuan bersama Jinping dan Putin, Trump berkata, kedua-dua pemimpin itu mempunyai hubungan rapat dan bekerjasama antara satu sama lain.

Beliau berkata, hubungan rapat antara China dan Rusia itu tidak sepatutnya berlaku, sambil mendakwa bekas Presiden AS, Barack Obama menjadi punca kedua-dua negara semakin bekerjasama susulan kepentingan tenaga.

“China sangat memerlukan bekalan tenaga, manakala Rusia mempunyai sumber tenaga. Secara tiba-tiba, hubungan itu terjalin. Namun, saya fikir hubungan kami dengan kedua-dua negara berjalan dengan baik. Mereka berdua menyukai Trump,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini