AS boleh pilih, rundingan atau perang

AS boleh pilih, rundingan atau perang

PENUNJUK perasaan memegang bendera Iran dan sepanduk anti-AS yang memaparkan imej Pesiden Donald Trump semasa perhimpunan memperingati ulang tahun krisis tebusan Iran 1979 di Teheran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran memberi pilihan kepada Amerika Syarikat (AS) untuk menyelesaikan ketegangan menerusi rundingan atau berdepan risiko peperangan jika kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan.

Ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata, peluang untuk mencapai perjanjian masih terbuka sekiranya Washington menerima tujuh syarat yang dikemukakan Teheran.

“Jika Amerika menerima tujuh syarat munasabah yang dikemukakan Iran, laluan ke arah mencapai persetujuan masih terbuka,” katanya ketika memulakan sidang maya Parlimen kelmarin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, beliau memberi amaran Iran tidak akan berdiam diri sekiranya AS mengambil tindakan yang boleh mencetuskan konflik baharu.

“Jika Amerika melakukan satu lagi kesilapan kali ini, kemampuan dan tekad Angkatan Tentera Iran akan menentukan keluasan medan pertempuran, bukannya kehendak atau niat mereka,” katanya.

Ghalibaf tidak memperincikan tujuh syarat berkenaan atau menjelaskan bentuk perjanjian yang boleh diterima Teheran.

Menurut laporan terdahulu, syarat itu termasuk penamatan sekatan laut AS, jaminan laluan selamat bagi kapal dagang dan kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz serta pemansuhan sekatan unilateral.

Iran turut menuntut pengecualian eksport minyaknya daripada sekatan, pembebasan aset negara itu yang dibekukan serta kebenaran untuk menyimpan bahan nuklear di dalam negara. Penamatan perang juga disenaraikan sebagai antara syarat utama Teheran.

Dalam perkembangan berkaitan, Washington meningkatkan kehadiran ketenteraannya di Asia Barat dengan mengerahkan kapal pengangkut pesawat ketiga ke rantau itu ketika ketegangan dengan Iran berterusan.

Seorang pegawai AS memaklumkan kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt memasuki kawasan operasi Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) pada Ahad, menyertai USS George Washington dan USS George H.W. Bush yang sudah berada di rantau berkenaan.

Kehadiran tiga kumpulan penyerang kapal pengangkut pesawat itu meningkatkan kekuatan tentera laut AS ketika pentadbiran Presiden Donald Trump mempertimbangkan kemungkinan melancarkan semula operasi ketenteraan berskala besar terhadap Iran.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini