Penghantaran dokumen sulit Petronas gagal kerana saiz besar - Saksi

Penghantaran dokumen sulit Petronas gagal kerana saiz besar – Saksi

KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa terdapat cubaan untuk menghantar dokumen sulit mengandungi laporan prestasi operasi dan kewangan Petronas oleh bekas pengurus kanan syarikat itu, Mohd. Khairul Akmal Mohd. Jasni.

Juruanalisis Kanan Digital Forensik CyberSecurity Malaysia, Abdul Wafi Abdul Rahman berkata, dokumen itu dihantar menerusi alamat emel tertuduh, Mohd. Khairul Akmal, 41, kepada dua penerima di Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Katanya, maklumat itu berdasarkan pelayan emel (email server) Petronas yang menemui rekod penghantaran dokumen bertajuk ‘Q1 2024 SPQR-Main Presentation with Yellow Pages.pptx’ kepada Datuk Janin Girie dan Mohd. Azha Abdul Jalil.

Memuatkan artikel berkaitan…

Janin merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Petroleum Sarawak Berhad (Petros) manakala Mohd. Azha adalah Ketua Pegawai Kewangan Petros.

“Hasil pemeriksaan terhadap data yang diperoleh daripada pelayan emel tersebut mendapati bahawa terdapat rekod e-mel berkaitan penghantaran dokumen yang menjadi subjek siasatan ini.

“Pemeriksaan juga mendapati terdapat notifikasi kegagalan penghantaran emel atau undeliverable notification berkaitan dokumen tersebut.

“Saya mendapati bahawa punca kegagalan penghantaran e-mel tersebut adalah disebabkan oleh saiz lampiran yang terlalu besar dan melebihi had yang ditetapkan oleh sistem emel berkenaan,” katanya.

Abdul Wafi memaklumkan itu ketika membacakan pernyataan saksi dalam bicara kes melibatkan Mohd. Khairul Akmal yang didakwa cuba mendedahkan maklumat dokumen sulit Petronas kepada Petros.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd. Radzuan manakala Mohd. Khairul Akmal diwakili peguam bela, Louis Liaw Vern Xien.

Dapatan itu diperoleh selepas saksi pendakwaan ketujuh itu menjalankan analisis forensik ke atas sebuah komputer riba, dua unit telefon bimbit dan sebuah pemacu USB yang mengandungi data diekstrak daripada pelayan emel Petronas.

Dalam pada itu, Abdul Wafi turut mendapati rekod penggunaan (event logs) pada tarikh 8 Jun 2024 menunjukkan 15 aktiviti bagi aplikasi Microsoft Outlook pada komputer riba milik tertuduh.

Bagaimanapun, tiada bukti secara langsung yang ditemui bagi mengesahkan dokumen tersebut dihantar melalui peranti berkenaan selain kandungan asal dokumen pembentangan itu juga gagal diperoleh daripada mana-mana eksibit yang diperiksa.

“Berdasarkan dapatan ini, saya berpendapat bahawa terdapat kemungkinan emel tersebut telah dipadam oleh individu yang mempunyai akses kepada eksibit berkenaan.

“Namun begitu, berdasarkan pemeriksaan yang telah dijalankan, saya tidak dapat mengenal pasti siapakah individu yang bertanggungjawab melakukan pemadaman tersebut,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Khairul Akmal ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas cuba mendedahkan maklumat dokumen kepada Petros di antara pukul 3.19 dan 3.21 petang, 8 Jun 2024 di Jalan Pinang, Dang Wangi.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid itu bersambung esok.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini