Oh My Kawan realisasikan impian Sasi The Don berduet dengan Awie - Utusan Malaysia

Oh My Kawan realisasikan impian Sasi The Don berduet dengan Awie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua dekad menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan penyanyi rock legenda, Datuk Awie, penyanyi reggae, Sasi The Don akhirnya berjaya merealisasikan impiannya menerusi lagu terbaharu berjudul Oh My Kawan.

Menurut Sasi atau Sasidharan a/l Chandran, kekangan masa dan komitmen kerjaya masing-masing menjadi punca perancangan itu tertangguh selama 20 tahun tempoh perkenalan mereka.

“Sebenarnya, sudah lama saya mahu bekerjasama dengan Datuk Awie, tetapi sebelum ini kami tidak mempunyai peluang yang sesuai. Walaupun begitu, kami sentiasa berhubung.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi saya, dia bukan sekadar seorang artis yang saya kenali, tetapi dia juga seperti mentor dan abang yang banyak memberikan inspirasi. Apabila merancang untuk menghasilkan lagu ini, sejak awal lagi saya sudah membayangkan dia sebagai penyanyi yang paling sesuai.

“Kalau dia menolak, mungkin saya akan menyanyikannya seorang diri,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran lagu dan muzik video Oh My Kawan, pada Rabu.

Dalam masa sama, Sasi juga sempat mengimbau detik perkenalan mereka, selain mengakui teruja apabila vokalis kumpulan Wings itu meluahkan bahawa belia meminati muzik yang dibawakannya.

“Saya masih ingat ketika pertama kali bertemu, dia sendiri datang memberitahu bahawa dia meminati muzik saya. Saya memang terkejut kerana dia sangat mesra.

“Pada hari itu juga, dia memberikan nombor telefonnya. Menariknya, selepas kira-kira 21 tahun, nombor telefon itu masih sama dan tidak pernah ditukar.

“Hubungan kami bukan seperti kawan yang selalu keluar melepak bersama, tetapi lebih kepada rasa hormat antara satu sama lain sebagai penggiat muzik,” jelasnya.

Sementara itu, Awie turut menyifatkan keikhlasan Sasi dalam menghasilkan karya berkenaan menjadi antara faktor utama dia bersetuju menjayakan kolaborasi itu.

“Apabila membaca liriknya, saya merasakan lagu ini membawa mesej penyatuan dan mengajak masyarakat ke arah perkembangan yang sihat.

“Sasi memberikan peluang kepada saya untuk membetulkan lirik, tetapi saya tidak mahu mengubahnya kerana mahukan sesuatu yang benar-benar datang daripada jiwa dan hatinya.

“Bagi saya, mesej perpaduan tidak boleh dibuat-buat. Saya mahu apa yang disampaikan benar-benar ikhlas. Dia seorang yang sangat mementingkan kesempurnaan.

“Daripada lagu, muzik video sehinggalah kepada strategi promosi, semuanya mahu dipastikan mengikut perancangan. Saya bersyukur dapat bekerjasama dengannya kerana dia seorang yang sangat kuat bekerja dan sentiasa memikirkan soal kualiti,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini