PETALING JAYA: Sistem perdagangan pelbagai hala dan keseragaman ekonomi berasaskan peraturan perlu diperkukuh supaya keterbukaan dipertahankan ketika ketegangan geopolitik dunia semakin meruncing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu penting bagi memastikan rantau Asia Pasifik menjadi pemacu kemakmuran bersama selain menjamin peluang ekonomi yang lebih saksama kepada semua negara.
Beliau berkata, kemakmuran bersama bukan sekadar diukur melalui pertumbuhan ekonomi, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi pewujudan pekerjaan lebih baik, peningkatan taraf hidup dan peluang yang lebih adil kepada rakyat.
“Makna yang lebih mendasar kepada konsep kemakmuran bersama terletak pada sejauh mana pekerjaan yang diwujudkan adalah lebih baik, taraf hidup yang meningkat dan peluang yang tersedia lebih saksama,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, prinsip kemakmuran bersama juga perlu menjadi asas dalam memacu perkembangan kecerdasan buatan (AI) agar kemajuan teknologi dapat dinikmati secara inklusif.
Katanya, Malaysia komited mendukung tatakelola digital dan AI berteraskan etika, memperkukuh keselamatan siber serta memastikan manfaat teknologi turut dinikmati negara-negara Selatan Global.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut menghargai inisiatif Presiden China, Xi Jinping yang membawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump serta Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Sidang Kemuncak APEC kali ini.
Beliau melihat perkara tersebut sebagai usaha bagi membuka ruang kepada dialog dan persefahaman bermakna ke arah mewujudkan keamanan serta keharmonian yang berkekalan.
Sementara itu, Anwar turut mengingatkan bahawa gagasan Confucius mengenai keharmonian dalam kepelbagaian wajar dijadikan pedoman dalam memperkukuh hubungan antara negara.
Katanya, meskipun dunia berdepan pelbagai ketidaktentuan dan perpecahan, rantau Asia Pasifik berupaya menunjukkan bahawa persaingan boleh bergerak seiring dengan kerjasama.
“Asia Pasifik mampu memperlihatkan kepada dunia bahawa persaingan boleh berjalan seiring dengan kerjasama, dan hasil kemajuan boleh dikongsi dengan lebih adil dan manusiawi,” katanya.-UTUSAN











