SEOUL: Seorang pelajar pergigian di Universiti Kebangsaan Seoul (SNU) yang mencatat keputusan sempurna dalam ujian kemasukan sekolah undang-undang ditemukan dalam keadaan henti jantung hari ini, selepas timbul kebimbangan beliau mungkin cuba membunuh diri.
Lee Jin-woo, 32, sebelum ini menjadi perhatian ramai selepas memperoleh markah penuh dalam ujian kemasukan sekolah undang-undang ketika masih mengikuti pengajian pergigian di universiti berprestij itu.
Bagaimanapun, pencapaiannya mula dipersoalkan sejak Ahad lalu susulan pengakuan calon yang memperoleh markah tertinggi dalam peperiksaan akauntan cukai kebangsaan tahun ini bahawa dia menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meniru.
Pengakuan itu mencetuskan syak wasangka Jin-woo turut menggunakan kaedah sama untuk memperoleh keputusan cemerlang berkenaan. Bagaimanapun, dia menafikan dakwaan itu.
Bagi membuktikan kebolehannya, dia berjanji mengambil ujian bahagian bahasa Korea dalam peperiksaan kemasukan kolej secara langsung menerusi siaran penstriman pada Khamis.
Namun, dia gagal menghadirkan diri seperti yang dijanjikan.
Polis dalam satu kenyataan ringkas berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan henti jantung di sebuah lokasi yang tidak didedahkan di daerah Gangdong.
Menurut polis, pihaknya menerima laporan pada hari sama berhubung kebimbangan kemungkinan cubaan membunuh diri membabitkan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an.
Pihak berkuasa Korea Selatan lazimnya menggunakan istilah ‘keadaan henti jantung’ bagi merujuk individu yang ditemukan tidak menunjukkan tanda kehidupan sementara menunggu pengesahan rasmi kematian.
Dalam kenyataan polis itu, pihak berkuasa berkata pemeriksaan forensik dan prosedur lain akan dijalankan bagi menentukan keadaan kejadian sekiranya lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia.
Persoalan turut timbul mengenai keputusan peperiksaan kemasukan kolej Jin-woo yang meningkat dengan ketara berbanding pencapaiannya pada 2010-an sehingga membolehkannya mendapat tempat di fakulti pergigian SNU.
Media tempatan turut melaporkan dakwaan berhubung kes serangan dan pemerasan yang didakwa pernah dilakukannya sebelum ini, namun tidak berkaitan dengan tuduhan penipuan menggunakan AI.- AFP











