WASHINGTON: Seorang lelaki warga Pakistan dijatuhi hukuman penjara 27 tahun enam bulan selepas didapati merancang pembunuhan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan komander tentera Iran, Qassem Soleimani pada 2020.
Jabatan Kehakiman AS dalam kenyataan memaklumkan, Asif Merchant, didapati bersalah oleh mahkamah di Brooklyn kerana cuba mengupah pembunuh upahan bagi membunuh seorang ahli politik atau pegawai kerajaan di negara itu.
Merchant, yang didakwa mempunyai hubungan dengan Iran, ditahan pada 12 Julai 2024 ketika merancang meninggalkan AS.
Soleimani, yang mengetuai operasi ketenteraan luar Iran, terbunuh dalam serangan dron AS di Baghdad pada Januari 2020.
Susulan kejadian itu, pegawai Iran berulang kali berikrar akan membalas kematian komander berkenaan.
Dalam keterangannya di mahkamah, Merchant mendakwa dia terpaksa menyertai rancangan pembunuhan itu bagi melindungi keluarganya di Teheran daripada ancaman Pasukan Pengawal Revolusi Iran.
Beberapa media melaporkan, Merchant turut mendakwa dia menjangkakan akan ditangkap sebelum sesiapa terbunuh.
Dia berkata, tidak pernah menerima arahan untuk membunuh individu tertentu, namun kenalannya di Iran pernah menyebut tiga nama berkaitan rancangan itu.
Nama berkenaan termasuk Trump, bekas Presiden AS, Joe Biden dan bekas Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley.
Bagaimanapun, Peguam Negara AS, Todd Blanche menegaskan rancangan itu secara khusus menyasarkan Trump.
“Seorang ejen Iran yang datang ke AS untuk menyelaraskan cubaan pembunuhan terhadap Presiden Trump kini dijatuhi hukuman setimpal atas perbuatannya,” katanya selepas Merchant dijatuhi hukuman penjara 330 bulan.
Blanche berkata, Jabatan Kehakiman tidak akan bertolak ansur dengan sebarang rancangan keganasan asing yang menyasarkan pemimpin negara itu.
Beliau turut menegaskan pihaknya akan terus berusaha memastikan semua individu yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.- AFP











