Iran masih miliki sehingga 2,500 peluru berpandu 

Iran masih miliki sehingga 2,500 peluru berpandu 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Iran dianggarkan masih memiliki antara 1,500 hingga 2,500 peluru berpandu meskipun infrastruktur persenjataannya menjadi sasaran serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel selama beberapa bulan, menurut penilaian risikan AS yang dilaporkan Wall Street Journal pada Ahad.

Penemuan itu mencabar dakwaan Presiden AS, Donald Trump sebelum ini bahawa keupayaan ketenteraan Teheran sebahagian besarnya sudah dimusnahkan.

Memetik pegawai AS, akhbar itu melaporkan penilaian berkenaan menunjukkan Iran masih mempunyai simpanan peluru berpandu yang besar dan berupaya mengancam sasaran AS serta negara sekutunya sekiranya pertempuran kembali tercetus.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, pegawai berkenaan berkata, penilaian itu mempunyai tahap keyakinan yang rendah berikutan kesukaran menentukan jumlah peluru berpandu yang sedia dilancarkan dan yang masih disimpan.

Menurut laporan itu, usaha Iran membina semula keupayaan persenjataannya juga berjalan lebih perlahan berbanding sebelum perang.

Teheran turut dipercayai masih memiliki sejumlah besar dron dan peluru berpandu jarak dekat yang membolehkannya menyerang sasaran di seluruh rantau berkenaan.

Menurut laporan itu, pegawai tentera Israel menganggarkan Iran memiliki lebih 1,500 peluru berpandu balistik, meskipun penilaian di rantau itu menunjukkan angka berbeza.

Bekas Timbalan Penolong Setiausaha Pertahanan AS bagi Asia Barat, Simone Ledeen berkata, meskipun menggunakan anggaran terendah, jumlah itu menunjukkan Iran sudah memulihkan lebih separuh daripada simpanan peluru berpandunya sebelum perang.

Serangan peluru berpandu dan dron Iran sebelum ini turut mendedahkan kelemahan pangkalan tentera, sistem radar serta infrastruktur amaran awal AS di seluruh Asia Barat, menurut laporan itu.

Washington setakat ini memilih untuk terus memberikan tekanan ekonomi terhadap Teheran menerusi sekatan dan sekatan laut berbanding melancarkan satu lagi serangan ketenteraan berskala besar.

Negara sekutu AS di Teluk memberi amaran supaya pertempuran tidak disambung semula berikutan kebimbangan terhadap serangan balas Iran, manakala Israel terus mendesak supaya tindakan ketenteraan lanjut dilaksanakan, menurut akhbar itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini