KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan hasrat gabungan itu meletakkan calon Parti Progresif Penduduk (PPP) bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Timbalan Perdana Menteri berkata, pencalonan wakil daripada parti komponen BN itu akan dibuat selepas mendapat persetujuan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Timbalannya, Datuk Seri M Saravanan.
Ahmad Zahid berkata, beliau amat menghormati Presiden PPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan yang disifatkannya cekal untuk terus mewujudkan PPP dalam BN.
“Saya berazam, atas persetujuan Tan Sri Viki (Vigneswaran) dan Datuk Seri Saravanan, dalam PRU akan datang, kita letakkan calon PPP,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran PPP di Brickfields di sini, hari ini.
Pada 18 Januari lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, PPP secara rasmi diterima sebagai parti komponen BN.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) melalui surat bertarikh 25 November 2025 mengesahkan kedudukan PPP sebagai sebahagian daripada BN.
Sementara itu, Ahmad Zahid menyifatkan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, semalam sebagai kemenangan hatrik yang cukup bergaya selepas menang PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan sebelumnya.
Beliau berkata, kemenangan itu adalah satu gerakan rakyat, yang membuktikan kemampuan BN untuk terus menyantuni rakyat tanpa mengira agama, kaum dan bahasa.
“Inilah rakyat Malaysia yang sejati. Kita tidak perlu terjerit-jerit atau terpekik-terpekik, terlolong atau menyatakan sakau sana dan sakau sini.
“Kita cerita yang baik-baik. Biarlah orang nak berkata apa pun mengenai kita tetapi kita cerita yang baik mengenai diri kita.
“Kita berhasrat melakukan kebaikan untuk semua bangsa di negara ini. Inilah keindahan BN,” katanya.











