Mandat dua pertiga bukti rakyat pilih kestabilan

Mandat dua pertiga bukti rakyat pilih kestabilan

AHMAD Zahid Hamidi meraikan kemenangan BN dan PN di MITC, Ayer Keroh, Melaka malam ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang meraih 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melepasi majoriti dua pertiga, membuktikan rakyat Melaka memberikan kepercayaan kepada rekod pencapaian, kestabilan dan hala tuju pembangunan ditawarkan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN dan PN akan membentuk Kerajaan Negeri Melaka dengan mandat kukuh daripada rakyat.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas kejayaan BN dan PN yang telah memperoleh lebih majoriti dua pertiga secara tidak rasmi, iaitu 24 kerusi DUN Melaka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan ini, insya-Allah, BN dan PN akan membentuk Kerajaan Negeri Melaka,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam ini.

Ahmad Zahid turut mengumumkan bahawa BN dan PN telah sepakat mencalonkan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri yang akan mengangkat sumpah esok pukul 11 pagi.

“Maka dengan ini, saya mengumumkan bahawa BN dan PN mencalonkan Ab. Rauf Yusoh sebagai calon Ketua Menteri Melaka,” ujarnya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, mandat besar yang diberikan rakyat bukan alasan untuk BN dan PN bermegah, sebaliknya merupakan satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan tanggungjawab.

Katanya, kemenangan tersebut perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan setiap aku janji yang telah dibuat kepada rakyat sepanjang tempoh kempen pilihan raya.

“Kemenangan hatrik, tiga kali berturut-turut, bukan alasan untuk kita semua bermegah. Selepas kejayaan di Johor dan Negeri Sembilan.

“Sebaliknya, kami menerimanya dengan penuh kesyukuran, kerendahan hati dan keinsafan kerana mandat yang diberikan membawa amanah besar untuk melunaskan setiap aku janji manifesto serta memberikan khidmat terbaik kepada seluruh rakyat negeri Melaka tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang,” katanya.

Beliau berkata, keputusan PRN Melaka turut memperlihatkan penerimaan rakyat terhadap persefahaman dan kerjasama politik antara BN dengan PN.

Menurutnya, semangat kebersamaan yang ditunjukkan sepanjang kempen pilihan raya akan terus diperkukuh bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil, kukuh dan berwibawa.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Melaka, khususnya para pengundi yang memberikan mandat untuk menerajui negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini