Bahrain bunyikan siren amaran, Iran dakwa lancar serangan dron - Utusan Malaysia

Bahrain bunyikan siren amaran, Iran dakwa lancar serangan dron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANAMA: Siren amaran dibunyikan di Bahrain pada Ahad dan pihak berkuasa mengarahkan penduduk berlindung selepas Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa melancarkan serangan terhadap sebuah pangkalan tentera di negara Teluk itu.

Menurut wartawan AFP, siren amaran kedengaran di beberapa kawasan, sementara pihak berkuasa mengeluarkan beberapa arahan keselamatan menerusi media sosial supaya penduduk berlindung, tanpa menjelaskan punca ancaman berkenaan.

Kementerian Dalam Negeri Bahrain menerusi hantaran di platform X menggesa penduduk supaya bertenang, pergi ke lokasi selamat terdekat dan mengikuti perkembangan menerusi saluran rasmi bagi menjaga keselamatan awam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penyiar kerajaan Iran pada Ahad melaporkan IRGC melancarkan serangan dron terhadap sistem radar milik Amerika Syarikat (AS) di sebuah pangkalan di Bahrain.

“ Sistem radar pertahanan udara AS di pangkalan helikopter Al-Riffa di Bahrain menjadi sasaran enam dron milik Pasukan Aeroangkasa IRGC,” menurut kenyataan IRGC yang disiarkan penyiar kerajaan itu menerusi Telegram.

Bahrain, yang menempatkan sebuah pangkalan utama tentera laut AS, merupakan antara beberapa negara Teluk yang menerima kesan serangan Iran sepanjang perang yang tercetus selepas AS dan Israel melancarkan serangan mengejut terhadap Iran pada 28 Februari lalu.

Pada Jumaat lalu, IRGC turut mendakwa tenteranya menyasarkan sistem radar amaran awal AS di Bahrain, manakala tentera AS berkata, pihaknya menembak jatuh dua dron Iran yang menuju ke negara kepulauan Teluk itu.

Sepanjang lapan bulan peperangan, Iran mengehadkan laluan kapal melalui Selat Hormuz dan melancarkan serangan terhadap pelbagai infrastruktur di rantau itu, termasuk lapangan terbang, pelabuhan, kemudahan tenaga, mercu tanda serta aset ketenteraan AS.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini