Iran dedah fasiliti peluru berpandu rahsia bawah tanah

Iran dedah fasiliti peluru berpandu rahsia bawah tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran mendedahkan sebuah fasiliti peluru berpandu bawah tanah yang baharu, dengan rakaman menunjukkan beberapa komander kanan tentera meninjau kompleks berkenaan ketika ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS) terus meningkat.

Rakaman yang disiarkan media kerajaan Iran pada Selasa menunjukkan Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Ali Abdollahi, dan Komander Pasukan Aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Majid Mousavi, memeriksa beberapa bahagian fasiliti itu.

Bagaimanapun, lokasi fasiliti berkenaan dan tarikh rakaman lawatan itu dibuat tidak didedahkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Video berkenaan memaparkan kompleks terowong bawah tanah yang luas, dengan deretan peluru berpandu bersaiz besar di atas treler atau pelantar, selain trak tentera, kenderaan pengangkut serta bendera Iran dan IRGC.

Lawatan itu turut disertai amaran kepada Washington apabila Abdollahi berkata, Iran boleh meluaskan tindak balasnya hingga ke luar Asia Barat sekiranya negara itu diserang sekali lagi.

“Jika musuh melakukan satu lagi tindakan terhadap kami, tindak balas kami akan melangkaui rantau ini,” katanya.

IRGC sebelum ini mengumumkan rancangan untuk mendedahkan sebuah lagi fasiliti peluru berpandu bawah tanah pada Sabtu.

Jurucakap IRGC, Hossein Mohebbi berkata, sebahagian pengeluaran peluru berpandu telah dipindahkan ke bawah tanah bagi melindunginya daripada serangan udara dan memastikan proses pembuatan dapat diteruskan ketika perang.

Beliau turut memberi amaran Iran boleh menggunakan senjata yang belum pernah didedahkan setakat ini sekiranya konflik dengan AS dan Israel semakin memuncak.

Pengumuman itu dibuat ketika AS sedang mempertimbangkan tindakan ketenteraan lanjut terhadap Teheran. AS melancarkan serangan ke atas Pulau Qeshm awal bulan ini.

Iran menggunakan istilah ‘bandar peluru berpandu’ bagi merujuk fasiliti bawah tanah yang digunakan untuk menyimpan dan melancarkan peluru berpandu.

Kemudahan itu dibina bagi memastikan simpanan peluru berpandu dan sistem pelancaran negara berkenaan terlindung daripada serangan udara musuh.

Dengan memindahkan senjata dan fasiliti pengeluaran ke bawah tanah, Iran turut berusaha memastikan operasi ketenteraannya dapat diteruskan ketika konflik.

Israel berulang kali menyasarkan rangkaian fasiliti itu. Ketika perang tahun lalu, tentera Israel menyerang pelancar peluru berpandu, kemudahan penyimpanan dan infrastruktur berkaitan milik Iran bagi mengurangkan keupayaan Teheran melancarkan serangan balas.

Bagaimanapun, Iran sejak itu berusaha membaik pulih tapak yang rosak.

Imej satelit yang diteliti Reuters pada Februari menunjukkan kerja pembaikan di pangkalan peluru berpandu yang diserang ketika konflik berkenaan.

Imej itu turut memperlihatkan usaha Iran memperkukuh atau menyembunyikan kemudahan ketenteraan dan nuklear yang sensitif.

Rakaman terbaharu itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Iran menunjukkan rangkaian peluru berpandunya masih beroperasi dan negara itu bersiap sedia menghadapi kemungkinan satu lagi konflik.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini