TEHERAN: Kerajaan Iran pada Isnin menafikan laporan berita bahawa pihaknya sedang berunding dengan Amerika Syarikat (AS) untuk membuka semula Selat Hormuz sebagai pertukaran bagi pelepasan asetnya bernilai AS$8 bilion (RM32.4 bilion) yang dibekukan.
Pihak berkuasa Teheran menegaskan Washington mestilah memenuhi kesemua syarat yang ditetapkan sebelum sebarang bentuk persetujuan atau perjanjian baharu boleh dicapai.
Seorang pegawai kanan Iran yang enggan dikenali memberitahu agensi berita Fars, laporan media berhubung perbincangan membuka laluan laut strategik itu demi mendapatkan semula dana berkenaan adalah tidak benar sama sekali.
Pegawai terbabit menjelaskan Teheran kekal komited terhadap tujuh syarat utama yang telah ditetapkan dan hanya sedia menerima rundingan sekiranya ia dibuat dalam kerangka berkenaan.
Penafian itu menyusul selepas beberapa media antarabangsa yang memetik laporan akhbar Israel Hayom melaporkan Presiden AS, Donald Trump bertemu Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani bagi membincangkan cadangan terbabit.
Antara syarat utama yang dituntut Iran termasuklah penamatan sekatan tentera laut AS, jaminan laluan selamat bagi kapal dagang dan kapal tangki minyak, pembatalan sekatan ekonomi, serta pelepasan penuh aset negara itu yang dibekukan.
Dalam perkembangan berasingan, Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, mengesahkan kerangka cadangan dua hari sedia ada kekal sebagai pelan paling praktikal untuk memulihkan keselamatan di Selat Hormuz.
Menerusi sidang media mingguan yang dipetik agensi berita Tasnim, Baqaei mengesahkan tiada sebarang cadangan baharu dikemukakan kepada pihak AS buat masa ini.
Beliau menyifatkan pelan sedia ada sebagai kerangka terikat masa yang jelas sambil menegaskan sebarang kemajuan diplomatik kini bergantung sepenuhnya kepada kesediaan politik Washington untuk merungkai kebuntuan.
Baqaei menambah, Washington sebenarnya telah pun menerima tuntutan berkenaan menerusi memorandum 14 perkara di Islamabad menerusi perantaraan Pakistan pada Jun lalu, namun gagal mengotakan komitmen berkenaan.
Pihak Kementerian Luar Iran menegaskan Teheran hanya akan menandatangani perjanjian yang memelihara kepentingan nasional serta hak undang-undang negara itu secara menyeluruh.











