Tiga termasuk pasangan suami isteri diupah RM1,000 bawa bagasi berisi ganja - Utusan Malaysia

Tiga termasuk pasangan suami isteri diupah RM1,000 bawa bagasi berisi ganja

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga rakyat Malaysia termasuk sepasang suami isteri yang ditahan di Mauritius pada 2 November lalu selepas menyeludup kira-kira 76 kilogram (kg) ganja dipercayai ditawarkan upah sebanyak RM1,000 bagi setiap bagasi yang dibawa ke negara itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasangan dari Pulau Pinang berusia 22 dan 18 tahun itu direkrut selepas berkenalan dengan seorang individu menerusi aplikasi RedNote.

“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek dihubungi seorang individu melalui aplikasi Telegram selepas berkenalan menerusi aplikasi RedNote.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Individu itu menawarkan bayaran sebanyak RM1,000 bagi setiap bagasi yang dibawa ke Mauritius,” katanya ketika dihubungi media di sini hari ini.

Hussein berkata, pasangan terbabit bersetuju membawa empat bagasi, masing-masing dua buah dengan tiket penerbangan dan penginapan hotel diuruskan serta dibiayai sepenuhnya oleh individu berkenaan.

“Kedua-dua suspek diarahkan ke Bangkok, Thailand bagi mengambil empat bagasi berkenaan sebelum meneruskan perjalanan ke Mauritius melalui Dubai.

“Mereka juga diarahkan memuat turun aplikasi Life360 bagi membolehkan pergerakan dipantau oleh individu yang mengendalikan penghantaran itu,”jelasnya.

Beliau berkata, pasangan terbabit turut menyerahkan salinan pasport kepada individu berkenaan melalui Telegram.

Tambahnya, siasatan awal mendapati pasangan itu tiba di Mauritius atas tujuan percutian dan dijadualkan menginap selama lima hari di Domaine de Grand Baie Hotel.

Hussein berkata, kedua-dua suspek menyedari perbualan dalam kumpulan Telegram dipadamkan atau individu yang dipercayai ketua sindiket meninggalkan kumpulan selepas mereka ditahan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima maklumat daripada pihak berkuasa Mauritius berhubung penahanan ketiga-tiga rakyat Malaysia itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam.

Jelasnya, ketiga-tiga suspek ditahan pada 2 November lalu pukul kira-kira  2.35 petang sejurus ketibaan penerbangan Emirates EK709 dari Dubai.

“Tangkapan dilakukan oleh Unit Antidadah dan Antipenyeludupan (ADSU) dengan kerjasama Kastam Mauritius berdasarkan maklumat risikan yang diterima,”ujarnya.

Hussein berkata, pemeriksaan terhadap bagasi pasangan suami isteri itu menemukan 60 paket plastik mengandungi bahan disyaki ganja dengan anggaran berat kasar 65kg.

Pemeriksaan turut menemukan peranti pengesan jenama Apple di dalam setiap bagasi yang dibawa seorang daripada suspek.

“Seorang lagi suspek, lelaki berusia 30 tahun yang berasal dari Sabah dan bekerja di Singapura ditahan bersama 10 paket plastik mengandungi bahan tumbuhan disyaki ganja.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu menemukan iklan pekerjaan di Singapura menerusi Facebook sebelum dihubungi seorang individu melalui Telegram,” ujarnya.

Menurut Hussein, semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

“JSJN akan meneruskan penyelarasan risikan dan kerjasama dengan pihak berkuasa Mauritius bagi mendapatkan butiran lengkap tangkapan serta rampasan.

“Kerjasama itu juga bertujuan mengenal pasti kemungkinan penglibatan individu atau rangkaian sindiket pengedaran dadah yang mempunyai kaitan dengan Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini