WASHINGTON: Sekeping peta lakaran tangan bersejarah yang menjadi sempadan pemisah antara negeri bebas dan negeri perhambaan di Amerika Syarikat (AS) berjaya dijual pada harga AS$950,000 (RM3.8 juta) dalam satu acara lelongan di Carolina Utara.
Rumah lelongan Brunk Auctions yang berpangkalan di Asheville mengesahkan bahawa peta artifak Mason-Dixon Line berkenaan telah dibeli oleh seorang pembeli misteri dalam sesi lelongan yang berlangsung pada 29 Oktober lalu.
“Jarang sekali kita dapat berada begitu dekat dengan sesuatu yang mempunyai kepentingan sejarah yang sangat besar,” kata Presiden rumah lelongan terbabit, Lauren Brunk kepada portal Orange County Register.
Kira-kira 45 pembida bersaing untuk memiliki artifak era pra-Perang Saudara berkenaan sebelum ia berjaya dijual kepada pemilik baharu dalam tempoh kurang daripada tiga minit.
Tawaran pembukaan bermula pada harga AS$400,000 (RM1.6 juta) bagi peta fizikal yang disiapkan pada tahun 1768 oleh dua juruukur dan ahli astronomi Inggeris, Charles Mason serta Jeremiah Dixon.
Sesi penjualan dokumen berkenaan yang telah dipulihkan semula menggunakan gabungan kertas beras Jepun dijalankan secara dalam talian serta kehadiran fizikal di rumah lelongan terbabit.
Pihak lelongan mengakui pada awalnya berhasrat mencapai anggaran tertinggi AS1.2juta(RM4.8juta),namuntetapberpuashatimemandangkanAS950,000 (RM3.8 juta) merupakan nilai yang amat tinggi bagi sebuah peta bersejarah.
Peta sepanjang 193 sentimeter (sm) dan setinggi 16.51sm berasaskan kain linen itu dilakar hasil pemetaan terperinci yang dijalankan di antara tahun 1763 hingga 1767.
Artifak berkenaan pada asalnya dihasilkan sebagai sebahagian daripada penyelesaian konflik Perang Cresap yang melibatkan wilayah Maryland, Pennsylvania dan Delaware pada zaman kolonial AS.
Dokumen bernilai tinggi itu disimpan oleh keturunan peguam Benjamin Chew yang mewakili waris pengasas Pennsylvania, William Penn sehinggalah ia berpindah milik pada tahun 1982.
Peta terbabit kemudiannya dibeli oleh penerbit majalah Forbes, Malcolm S. Forbes pada harga AS$360,000 (RM1.4 juta) selepas mengatasi tawaran daripada pihak Perpustakaan Kongres AS. – AGENSI











