WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menubuhkan pasukan petugas baharu bagi menghalang Iran menggunakan sempadan darat dan Laut Caspian untuk pelbagai tujuan.
Laluan itu digunakan untuk memindahkan senjata canggih, teknologi dwiguna, bahan yang dikenakan sekatan dan hasil kegiatan haram, sekali gus memperluas tekanan selepas negara itu dikenakan sekatan laut selama beberapa bulan.
Halangan laluan darat itu dijangka menjejaskan lagi kehidupan rakyat biasa dan pendapatan Iran yang kini sudah pun mengalami masalah ekonomi sejak perang tercetus pada 28 Februari.
Komander Markas Pusat AS (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper mengarahkan penubuhan Pasukan Petugas Iron Gate pada Sabtu, menurut kenyataan perintah itu.
Pasukan yang terdiri daripada kira-kira 20 anggota awam dan tentera itu akan berpangkalan di Tampa, Florida dan menyelaras operasi dengan agensi kerajaan Amerika yang lain.
“Penubuhan Pasukan Petugas Iron Gate memperkukuh kejayaan sekatan ketat yang kami laksanakan terhadap Iran di laut,” kata Cooper.
“Mempertingkat kerjasama CENTCOM dengan agensi kerajaan Amerika yang lain akan terus menyekat keupayaan Iran untuk membiayai kegiatan keganasan, membina semula kilang senjata dan menambah bekalan ketenteraannya,” katanya.
Menurut grafik CENTCOM, pasukan petugas itu akan memantau, mengesan dan menyekat sebarang pergerakan haram sistem persenjataan canggih, teknologi dwiguna, bahan yang dikenakan sekatan serta aliran hasil kegiatan haram merentasi sempadan Iran dan Laut Caspian.
Pemerintah Amerika itu tidak menyatakan pintu sempadan atau negara jiran yang akan menjadi tumpuan pasukan berkenaan tetapi menonjolkan sempadan Iran dengan Turkiye, Afghanistan, Turkmenistan dan Pakistan.
Sekatan laut Amerika yang diumumkan pada Julai 2026 meliputi semua pelabuhan Iran di Teluk dan Teluk Oman, bertujuan menghalang kegiatan import dan eksport dari serta ke Iran, kecuali bantuan kemanusiaan.
Menurut CENTCOM, sekatan itu menghalang Iran daripada mengeksport minyak mentah bernilai lebih AS$25 bilion (RM102 bilion) sejak beberapa bulan lalu. Perintah itu turut menegaskan bahawa penguatkuasaan ketat di laut diteruskan terhadap semua kapal yang memasuki atau meninggalkan pelabuhan Iran.
Iran menuntut sekatan laut itu ditarik balik sebagai syarat untuk membuka semula Selat Hormuz, ketika Pasukan Petugas Iron Gate pula menyasarkan laluan darat negara itu.











