Pengeluar sarung tangan getah dijangka berdepan tekanan

Pengeluar sarung tangan getah dijangka berdepan tekanan

TERDAPAT kemungkinan harga jualan sarung tangan meningkat selepas November ini.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar sarung tangan getah tempatan dijangka berdepan tekanan keuntungan pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY2026) berikutan penurunan harga jualan purata (ASP) serta peningkatan tarif gas asli yang menaikkan kos pengeluaran.

Menurut nota penyelidikan CIMB Securities, walaupun terdapat kemungkinan harga jualan sarung tangan meningkat selepas November ini, kesan positif terhadap pendapatan dijangka lebih sederhana berbanding prestasi yang dicatatkan pada suku berakhir Jun 2026.

“Sekiranya kenaikan harga berlaku, ASP boleh mencecah AS23 bagi setiap 1,000 unit, melepasi julat unjuran semasa firma itu antara AS21 hingga AS22 bagi setiap 1,000 unit. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, paras tersebut masih jauh lebih rendah berbanding harga puncak sekitar AS28 bagi setiap 1,000 unit yang direkodkan pada Jun 2026, sekali gus mengehadkan ruang pemulihan keuntungan pengeluar,” katanya. 

Dalam masa yang sama, pengeluar sarung tangan turut berdepan peningkatan kos tenaga apabila tarif gas asli meningkat kepada RM59 bagi setiap juta unit terma British (MMBtu), berbanding purata RM49.90/MMBtu pada suku September 2026. 

“Kenaikan itu memberi kesan langsung kepada struktur kos industri memandangkan gas asli merangkumi antara 10 peratus hingga 15 peratus daripada keseluruhan kos pengeluaran.

“Tekanan kos dijangka berterusan apabila kenaikan gaji minimum yang dijadualkan bermula Jun 2027 turut meningkatkan perbelanjaan operasi, khususnya bagi pengeluar yang masih bergantung kepada tenaga kerja dalam jumlah besar. 

“Pelaksanaan kenaikan gaji minimum itu dianggarkan boleh mengurangkan keuntungan industri masing-masing sekitar 4 peratus pada 2027 dan 7 peratus pada 2028,” katanya. 

Dari sudut permintaan, jumlah eksport sarung tangan getah Malaysia terus menunjukkan penyusutan apabila merosot 2.5 peratus kepada 54,134 tan pada September 2026 berbanding bulan sebelumnya. 

Penurunan itu menyusuli penguncupan 7.7 peratus pada Ogos 2026, sekali gus mencatatkan kemerosotan eksport untuk dua bulan berturut-turut.

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan ‘Neutral’ terhadap sektor sarung tangan getah ekoran ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran serta peningkatan tekanan kos. 

Walaupun sektor berkenaan kini didagangkan pada nisbah harga kepada nilai buku (P/B) sebanyak 0.9 kali, penilaian semasa dianggap masih agak tinggi mengambil kira jangkaan keuntungan yang lebih rendah pada 3QFY2026.

Tambahnya, Kossan Rubber Industries Bhd. kekal sebagai saham pilihan utama CIMB Securities berikutan pendedahannya yang lebih tinggi kepada produk bukan generik serta kedudukan tunai bersih yang kukuh, di mana tunai bersih syarikat dianggarkan bersamaan kira-kira 49 peratus daripada permodalan pasarannya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini