TEKNOLOGI pembantu suara pintar mampu mengurangkan masa dokumentasi konsultasi sehingga 40 peratus, sekali gus membolehkan doktor memberi lebih tumpuan kepada pesakit.
Kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini membuka peluang besar untuk mentransformasikan industri penjagaan kesihatan, bukan sahaja dari segi ketepatan maklumat perubatan, malah meningkatkan kecekapan operasi hospital dan mutu perkhidmatan kepada pesakit.
Di Asia Tenggara, antara cabaran utama yang masih dihadapi hospital ialah beban dokumentasi, proses pentadbiran dan pengurusan rekod perubatan yang memerlukan masa serta tenaga kerja yang banyak.
Keadaan itu mendorong CareDoct, syarikat teknologi kesihatan (healthtech) yang diasaskan pada 2024, membangunkan penyelesaian berasaskan AI bagi membantu mengurangkan tugasan pentadbiran doktor melalui pembantu suara pintar yang dikenali sebagai Jun.
Teknologi itu membolehkan perbualan antara doktor dengan pesakit ditukarkan secara automatik kepada nota klinikal, selain membantu urusan pesanan ubat, ujian diagnostik dan dokumentasi insurans.
CareDoct turut mengintegrasikan teknologi berkenaan dengan sistem sedia ada hospital bagi mempercepatkan proses tuntutan insurans, pengurusan rekod dan operasi klinikal.
Ikuti temubual bersama wartawan Utusan Malaysia, Zakkina Wati Ahmad Tarmizi dan pengasas bersama CareDoct, Naveelan serta Geraldus berkongsi bagaimana syarikat itu dibangunkan, potensi AI dalam memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan serta perancangannya untuk berkembang ke pasaran serantau.
UTUSAN: Bolehkah anda kongsikan bagaimana CareDoct bermula? Apakah jurang dalam sistem penjagaan kesihatan Asia Tenggara yang mendorong anda membina syarikat ini?
NAVEELAN: Saya berasal daripada keluarga doktor dan sejak kecil menyaksikan sendiri bagaimana mereka dibebani dengan pelbagai urusan dokumentasi yang sebenarnya tidak berkaitan secara langsung dengan tugas merawat pesakit.
Apabila saya meneliti sistem penjagaan kesihatan Malaysia dengan lebih mendalam, saya menyedari perkara itu bukan masalah terpencil, sebaliknya berpunca daripada kelemahan struktur yang lebih besar.
Hospital di Asia Tenggara ketinggalan sekitar tiga hingga lima tahun dari segi penggunaan teknologi berbanding sistem penjagaan kesihatan di negara Barat.
Namun, penting untuk dijelaskan bahawa jurang itu melibatkan teknologi, bukannya kekurangan bakat atau kemahiran klinikal. Doktor di rantau ini mempunyai kepakaran yang sangat baik, tetapi peralatan dan teknologi yang digunakan masih belum berkembang seiring dengan keperluan semasa.
GERALDUS: Saya mempunyai latar belakang dalam bidang sains data dan pernah bekerja dengan beberapa syarikat pemula sebelum menyertai CareDoct. Pengalaman itu membuka peluang kepada saya untuk memahami bahawa saya lebih berminat membangunkan produk yang bergerak pantas berbanding bekerja dalam organisasi besar.
CareDoct ditubuhkan pada 2024 dan mula menawarkan perkhidmatan kepada hospital pada 2025.
Sejak awal, pendekatan kami adalah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi Asia Tenggara dengan membangunkan penyelesaian dari rantau ini sendiri.
Kami bekerjasama secara langsung dengan hospital dan badan pengawal selia tempatan, bukannya membangunkan produk dari luar sebelum menyesuaikannya dengan keperluan pasaran kemudian.
Secara mudah, apakah sebenarnya yang dilakukan oleh CareDoct dan bagaimana ia berfungsi di dalam bilik konsultasi doktor?
NAVEELAN: Secara asasnya, CareDoct bertindak sebagai lapisan operasi AI untuk sektor penjagaan kesihatan.
Di dalam bilik konsultasi, matlamat kami adalah memastikan penggunaan teknologi ini semudah mungkin sehingga doktor tidak perlu mengubah rutin kerja mereka.
Doktor hanya perlu duduk dan berbual dengan pesakit seperti biasa, manakala pembantu suara AI kami, Jun, akan mendengar perbualan secara automatik.
Jun kemudian menukarkan perbualan tersebut kepada nota klinikal yang lengkap. Malah, melalui arahan suara semula jadi, doktor boleh membuat pesanan ubat, meminta ujian diagnostik dan menyediakan pelbagai dokumen berkaitan rawatan.
Apabila pesakit selesai menjalani konsultasi, nota klinikal telah disediakan, pesanan berkaitan telah dibuat dan dokumen insurans diisi secara automatik untuk disemak sebelum dihantar.
Ini membolehkan doktor bersedia menerima pesakit seterusnya dalam tempoh yang lebih singkat tanpa perlu menghabiskan masa tambahan untuk menyiapkan dokumentasi.
GERALDUS: Selain membantu doktor, CareDoct turut meningkatkan kecekapan operasi hospital di belakang tabir dengan menukarkan data konsultasi kepada tindakan pentadbiran secara langsung.
Platform kami boleh diintegrasikan dengan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR), Sistem Maklumat Hospital (HIS) dan Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) sedia ada.
Melalui integrasi itu, data yang sebelum ini hanya disimpan dalam pangkalan data boleh digunakan secara aktif untuk menyokong proses penjagaan pesakit.
CareDoct juga boleh menyemak tuntutan insurans berdasarkan keperluan hospital, kod Klasifikasi Penyakit Antarabangsa (ICD) dan garis panduan syarikat insurans.
Sekiranya terdapat dokumentasi yang tidak lengkap, sistem akan mengenal pasti kekurangan tersebut lebih awal serta mengisi Borang Pra-Kebenaran (PAF) secara automatik.
Kami turut mendigitalkan rekod lama yang masih menggunakan dokumen fizikal serta mentafsir fail diagnostik terdahulu bagi memastikan keseluruhan aliran data hospital berjalan lancar tanpa memerlukan terlalu banyak campur tangan manual.
Berapa banyak masa yang dapat dijimatkan oleh doktor setiap hari melalui penggunaan teknologi ini?
NAVEELAN: Walaupun penjimatan masa berbeza mengikut bidang kepakaran, kami lazimnya melihat pengurangan sekitar 40 peratus bagi tempoh dokumentasi setiap konsultasi.
Namun, bagi kami, perkara ini bukan sekadar mengira jumlah minit yang dapat dijimatkan, tetapi lebih penting ialah bagaimana masa tersebut boleh dimanfaatkan semula.
Saya membesar dalam keluarga doktor dan melihat sendiri bagaimana urusan dokumentasi sering menyebabkan golongan profesional perubatan terpaksa mengorbankan masa yang sepatutnya diberikan kepada pesakit.
Apabila beban itu dapat dikurangkan, doktor mempunyai lebih banyak masa untuk memberikan penjagaan yang lebih baik, mendengar masalah pesakit dengan teliti dan berinteraksi secara langsung tanpa terlalu tertumpu kepada skrin komputer.
GERALDUS: Dari sudut operasi, pengurangan beban menaip dan dokumentasi turut memberikan kesan positif kepada keseluruhan pengurusan hospital.
Apabila proses konsultasi menjadi lebih pantas tanpa mengorbankan ketelitian maklumat, tempoh menunggu pesakit dapat dikurangkan dan kesesakan di klinik dapat ditangani dengan lebih baik.
Doktor juga mempunyai ruang masa serta keupayaan mental yang lebih baik untuk mengendalikan pesakit tanpa perlu berasa terlalu tertekan dengan jadual kerja.
Pengurangan beban operasi ini berpotensi membantu mengurangkan keletihan melampau dalam kalangan doktor, selain memberikan pengalaman rawatan yang lebih lancar kepada pesakit.
Apakah kesannya kepada penjagaan pesakit dan ekosistem penjagaan kesihatan serta teknologi kesihatan atau healthtech yang lebih luas di Malaysia dan rantau ini?
NAVEELAN: Kualiti dokumentasi mempunyai hubungan langsung dengan hasil rawatan pesakit.
Apabila nota perubatan disediakan dengan tepat dan lengkap sejak awal, doktor lain yang mengambil alih rawatan pesakit berkenaan akan mempunyai gambaran klinikal yang lebih menyeluruh.
Maklumat yang jelas juga memudahkan pihak syarikat insurans membuat penilaian terhadap permohonan tuntutan.
Sebagai contoh, proses penghantaran dokumen pra-kebenaran yang sebelum ini boleh mengambil masa sehingga setengah hari disebabkan urusan manual dan komunikasi berulang, kini dapat diproses dalam tempoh kurang dua jam.
Perkembangan ini dapat mengurangkan kebimbangan pesakit yang menunggu kelulusan insurans, selain mempercepatkan proses mendapatkan rawatan.
GERALDUS: Bagi pihak pengurusan hospital, teknologi ini menawarkan peluang meningkatkan kapasiti operasi tanpa perlu membuat pelaburan besar dalam kemudahan fizikal atau menambah tenaga kerja sedia ada.
Hospital berpotensi meningkatkan jumlah pesakit yang dapat dikendalikan antara lima hingga 10 peratus dengan menggunakan kapasiti wad dan kakitangan sedia ada.
Pada peringkat lebih luas, perkembangan ini membuktikan bahawa sektor penjagaan kesihatan Asia Tenggara tidak semestinya perlu bergantung kepada sistem teknologi asing yang mungkin kurang sesuai dengan bahasa dan aliran kerja tempatan.
Sebaliknya, kita mempunyai keupayaan membangunkan infrastruktur AI bertaraf dunia di rantau ini sendiri bagi menangani cabaran pentadbiran yang khusus kepada sistem penjagaan kesihatan tempatan.
Data pesakit merupakan maklumat yang sangat sensitif. Bagaimana CareDoct membina kepercayaan doktor dan pesakit terhadap privasi apabila AI digunakan dalam proses rawatan?
NAVEELAN: Data pesakit dinyahidentiti pada setiap peringkat pemprosesan. Perkara ini bukan sekadar ciri tambahan, sebaliknya merupakan keperluan asas yang telah kami tetapkan sejak peringkat awal pembangunan sistem.
Setiap hospital mempunyai piawaian tadbir urus data masing-masing. Oleh itu, untuk mendapatkan kelulusan mereka, kami perlu memastikan sistem CareDoct memenuhi piawaian berkenaan sebelum sebarang konsultasi diproses melalui platform kami.
Kami menganggap perlindungan data sebagai perkara yang tidak boleh dikompromi. Kelajuan pelaksanaan teknologi tidak boleh mengatasi kepentingan keselamatan dan perlindungan maklumat pesakit.
GERALDUS: Dari sudut infrastruktur, sistem kami beroperasi menggunakan Amazon SageMaker AI dan perkhidmatan Amazon Web Services (AWS) di rantau Kuala Lumpur.
Ini bermakna data pesakit diproses dalam sempadan Malaysia mengikut piawaian keselamatan dan penyulitan tempatan AWS, bukannya dihantar ke pelayan di luar negara.
Pendekatan ini membolehkan kami memenuhi keperluan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) serta prinsip kedaulatan data yang ditetapkan hospital dan pihak pengawal selia.
Pemprosesan data secara tempatan juga membolehkan sistem beroperasi dengan kependaman hampir sifar, sekali gus memastikan proses transkripsi perbualan berlaku dalam masa nyata.
Selain itu, kami menggunakan model AI sumber terbuka yang boleh diperiksa dan diaudit, berbanding bergantung sepenuhnya kepada sistem tertutup yang tidak mendedahkan bagaimana sesuatu keputusan dihasilkan.
Dalam persekitaran klinikal, kami perlu memastikan setiap hasil yang dijana boleh diaudit dan dijelaskan. Perkara ini penting untuk membina keyakinan doktor serta lembaga pengarah hospital terhadap penggunaan AI.
CareDoct telah berkembang daripada beberapa buah hospital kepada rangkaian yang semakin meluas di Malaysia dan Brunei. Apakah cabaran terbesar untuk mendapatkan kepercayaan hospital pertama dan bagaimana anda menguruskan pertumbuhan tersebut?
NAVEELAN: Cabaran terbesar sememangnya untuk mendapatkan kepercayaan awal dalam kalangan doktor.
Bagi membina keyakinan tersebut, kami memulakan projek perintis berskala kecil dengan kumpulan doktor yang percaya terhadap visi kami dan memahami masalah yang ingin diselesaikan.
Kami bekerjasama secara langsung dengan doktor untuk menambah baik teknologi berkenaan berdasarkan pengalaman sebenar di klinik.
Apabila doktor mula merasai manfaatnya, khususnya apabila mereka tidak lagi perlu menghabiskan masa selepas waktu bekerja untuk menaip nota klinikal, mereka sendiri menjadi penyokong terbesar kami.
Malah, mereka memperkenalkan CareDoct kepada rakan sejawat serta pihak pengurusan hospital lain. Sokongan daripada doktor kepada doktor ini membantu kami membina kredibiliti dalam industri.
GERALDUS: Faktor yang membantu kami melalui pelaksanaan pertama adalah membuktikan bahawa platform ini benar-benar berfungsi dengan baik di sebuah hospital, termasuk melalui kerjasama dengan rakan awal seperti Prince Court Medical Centre, sebahagian daripada IHH Healthcare.
Dengan sokongan AWS, kami berjaya membangunkan sistem yang stabil untuk pelaksanaan pertama tanpa perlu membina semula keseluruhan infrastruktur setiap kali menyertai hospital baharu.
Dalam praktiknya, ini bermakna hospital baharu boleh ditambah ke dalam platform tanpa memerlukan proses kejuruteraan semula yang mengambil masa berbulan-bulan.
Pendekatan tersebut membolehkan kami berkembang daripada seorang pelanggan kepada kerjasama dengan beberapa hospital daripada kumpulan berbeza.
Datuk Dr. Kuljit Singh, Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) serta Pengarah Perubatan Prince Court Medical Centre, yang menggunakan CareDoct berkata, teknologi itu bukan sekadar mengurangkan kerja dokumentasi, malah membantu menguruskan pelbagai urusan termasuk pengekodan ICD, surat rujukan dan borang insurans.
Beliau menyifatkannya seperti mempunyai seorang lagi pembantu klinikal yang menguruskan beban pentadbiran, sekali gus membolehkan doktor memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penjagaan pesakit.
Apakah hala tuju CareDoct selepas ini? Adakah terdapat pasaran baharu atau ciri teknologi yang sedang dirancang?
NAVEELAN: Kami kini memberikan tumpuan lebih mendalam kepada aliran kerja pentadbiran hospital yang lebih kompleks.
Ketika ini, kami sedang membangunkan dan menguji model ramalan bersama rakan hospital untuk menganalisis serta meramalkan kadar kelulusan tuntutan insurans secara masa nyata sebelum permohonan dihantar.
Selain pengurusan tuntutan, pelan pembangunan kami turut merangkumi automasi proses penyelarasan pembayaran, tindakan susulan pesakit selepas konsultasi serta penyelarasan penjagaan kesihatan.
Matlamat kami adalah menjadikan CareDoct sebagai enjin AI bersepadu yang menyokong keseluruhan aliran kerja klinikal dan pentadbiran hospital.
GERALDUS: Dari segi pengembangan serantau, kami berada pada landasan untuk melancarkan operasi di Indonesia pada penghujung tahun ini.
Memandangkan infrastruktur AI kami dibangunkan berasaskan teknologi awan AWS, proses memasuki pasaran baharu lebih tertumpu kepada penyesuaian terhadap rangka kerja kawal selia tempatan dan keperluan penyimpanan data, bukannya membina semula keseluruhan produk.
Beban pentadbiran bukan masalah yang hanya dihadapi sebuah negara, sebaliknya merupakan cabaran menyeluruh dalam sistem penjagaan kesihatan Asia Tenggara.
Oleh itu, CareDoct dibangunkan dengan visi untuk menjadi lapisan operasi AI utama bagi sektor penjagaan kesihatan di rantau ini.
Apakah nasihat anda kepada golongan muda Malaysia yang ingin merealisasikan inovasi mereka dalam industri yang dikawal selia dengan ketat seperti penjagaan kesihatan?
NAVEELAN: Dalam keadaan sekarang, kelebihan terbesar syarikat kecil dan pemula ialah keupayaan untuk bergerak pantas serta menyesuaikan diri.
Organisasi besar mungkin mengambil masa berbulan-bulan untuk meneliti sesuatu keputusan sebelum melaksanakannya, tetapi syarikat kecil tidak mempunyai kemewahan masa sedemikian.
Justeru, penting untuk mempercepatkan kitaran pembangunan dan penambahbaikan produk supaya kita dapat mengenal pasti perkara yang benar-benar berkesan dalam persekitaran klinikal.
Lebih pantas kita mendapatkan maklum balas dan membuat penambahbaikan, lebih cepat kemajuan dapat dicapai.
GERALDUS: Pengajaran terbesar bagi saya ialah kepentingan mempunyai sikap terbuka untuk belajar.
Ketika mula menyertai CareDoct, pengetahuan saya mengenai operasi sebenar sektor penjagaan kesihatan masih sangat terhad.
Saya perlu mengakui hakikat itu sejak awal dan sentiasa bersedia mempelajari perkara baharu, termasuk mengetepikan andaian awal apabila doktor serta pengendali hospital memberikan pandangan berdasarkan pengalaman mereka.-UTUSAN










